Tuesday, May 16, 2006
Lembablah Kino kita!
Ayak liok saya meleleh bila Philip Roth sudah menerbitkan novel terbaharunya. Saya ingatkan dia akan gantung pen setelah Plot Against America. Saya baca dua kali novel itu. Amat bagus! Dengan novel itu saya kira Roth sudah sampai bulatan penuh, dari seorang anak muda Yahudi yang bencikan Yahudi kepada seorang penulis tua yang menceritakan bahawa orang Yahudi masih tidak selamat. Dalam novel itu wiranya juga bernama Philip Roth, seorang kanak-kanak berumur tujuh tahun yang melihat keluarganya berkecai apabila Lindberg dipilih menjadi presiden Amerika. Sebelum dipilih Linberg adalah wira Amerika kerana menjadi orang pertama terbang menyeberangi lautan Atlantik. Lindberg dalam sejarah juga seorang anti-semetik. Tetapi kisah Lindberg menjadi presiden itu adalah rekaan, tetapi sejarah rekaan itu adalah cara novelis untuk meneroka apa mungkin terjadi pada orang Yahudi Amerika sekiranya Amerika diperintah oleh seorang pro-Hitler.
Bila saya baru tahu Philip Roth yang sudah berumur 70an menulis Everyman saya bergegas ke Kinokuniya. "Kami ada pesan buku itu, tetapi hanya sampai hujung bulan ini, atau bulan depan," kata perempuan muda di bahagian maklumat. Ini yang saya tak suka duduk di Malaysia. Kalau di Amerika saya sudah habis baca!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
2 comments:
Tuan,
Saya memang menunggu halaman seperti aficionado. Saya mahu menyelam diri dalam khazanah tuan. Biar saya basah dan menggigil kerananya.
Tuan, sabarlah tuan (walaupun lambat sedikit) untuk mendapat buku mutakhir Philip Roth.
Nasib saya lagi malang, duduk di kampung dan tidak semua buku yang saya ingin baca; mampu saya beli.
Saya kunyahlah apa-apa yang ada!
Tuan,
Saya lagi malang, tinggal di Terengganu, susah nak dapatkan buku-buku terbaru. Kadang-kadang saya pesan melalui kedai buku yang terbesar di Terengganu, Pustaka Seri Intan. Itupun, menurut pemiliknya, kalau buku-buku tersebut termasuk dalam senarai penerbit atau pengimport yang berkaitan dengannya. Kalau tidak, putih mata. Tetapi, saya tidak mahu malang ini terus menghambat diri... jadi apa yang saya buat, dan saya cadangkan pada saudara saudari semua, iaitu dengan membuat pesanan melalui internet, samada dengan MPH atau amazon.com. InsyaAllah pengalaman saya dengan kedua-duanya adalah baik dan cekap.
Norjihan
Post a Comment