Wednesday, August 23, 2006

Friday, August 18, 2006

Gurindam Illium 7

Akilis, raja pecut, berkata lagi menjawab soalan:
"Cakap, tafsirkan apa yang dalam ilmumu, dan jangan takut.
Kalkas, dengan nama Apollo kesayangan Zeus, dewa yang
kau sembah bila menafsir iradah dewata ke atas Danaan,
selagi aku hidup di muka bumi, selagi aku melihat cahaya surya,
tiada tangan manusia yang akan menyentuh kamu,
tiada seorangpun dari kalangan Danaan, tidak juga
Agamemnon, Agamemnon yang mendakwa dirinya teragung
di kalangan Akia, kalau dia yang kamu maksudkan."

Fusus al-Hikam 1

Saya: Shen, sudah tiba masanya kamu belajar Fusus al-Hikam oleh Ibn Arabi. Yang jumud dan sempit akalnya kamu tinggalkan saja dibelakang.

Shen Yee Aun: Dari mana nak belajar fusus al hikam? apa yang terkandung dalam yang boleh saya pelajari ?

Fusus al-Hikam adalah antara buku yang paling sukar difahami. Saya hingga sekarang masih bergelut untuk memahaminya. Saya sering cemburu dengan mereka yang mahir membaca Arab. Bagi saya kalau sudah mahir membaca Arab, selain dari menikmati novel-novel Najib Mahfouz dalam bahasa asal, boleh memahami kitab-kitab Ibn Arabi. Sangkaan saya meleset. Beberapa tahun lalu saya di Amman menjadi tamu kepada anak-anak muda yang mengikuti cabang kepada tarikat Shadhali. Saya bertanya adalah mereka mengadakan kumpulan untuk membaca Fusus al-Hikam atau Futuhat al-Makkiah . "Kami Arab, tetapi kami tidak faham isi yang dituliskan oleh Ibn Arabi. Kami memahami Ibn Arabi melalui terjemahan Inggeris oleh William Chittick. Setelah membaca Chittick baru kami famahi apa yang ditulis oleh Sheikh al-Akbar dalam bahasa Arab." Begitu kata mereka. Saya berasa lega kefahaman saya tentang Ibn Arabi juga melalui teks-teks syeikh itu yang telah diterjemahkan ke bahasa Inggeris.

Monday, August 07, 2006

Sekularisme Shah Rukh Khan

"Setiap Muslim (India) seharusnya berbangga hakikat mereka hidup dalam masyarakat yang paling sekular," kata the badshah of Bollywood dalam satu wawancara dengan harian The Times of India ( Ogos 4).
SRK ditanya: "Muslim kelas menengah hari ini merasakan mereka terasing dari masyarakat." "Tidak benar," jawab beliau. "Kita hidup dalam negara di mana saya tidak fikir kita perlu (terasa terasing). Saya tidak fikir orang Islam negara ini punya alasan (untuk menjadi pengganas.)"
"Biar saya katakan begini, biar saya katakan kepada dunia, menjadi seorang pengganas bukan bermakna menjadi seorang muslim. Saya dengar ada pengebom mahu menjadikan saya sasaran. Mengapa mereka mahu mencederakan saya, saya juga seorang Islam. Sebenarnya mereka mahu mencederakan India. Keganasan adalah jenayah terhadap negara."

Friday, August 04, 2006

Kasihani Bangsa Itu

Kasihani bangsa itu yang penuh akidah tapi kosong agama.
Kasihani bangsa itu yang memakai baju bukan dari kain tenunannya, memakan
roti gandum bukan panennya, dan meminum arak yang tidak mengalir dari kebun
anggurnya.
Kasihani bangsa itu yang meraikan samseng sebagai wira, yang menyangka kilau
penakluk sebagai laba.
Kasihani bangsa itu yang membenci nafsu dalam mimpinya, tetapi menurutinya kala
kala jaganya.
Kasihani bangsa itu yang tidak mengangkat suara kecuali masa mengiringi jenazah, tidak
bercakap bangga kecuali dalam kehancuran, dan tidak akan bangun melawan kecuali
apabila leher telah dicelah mata kapak dan kayu sembelih.
Kasihani bangsa itu yang pemimpinnya seekor musang, filasufnya tukang silap mata, dan
seninya hanya menampel dan meniru.
Kasihani bangsa itu yang menyambut ketua baru dengan nafiri, dan mengucapkan selamat
tinggal dengan ejekan, hanya untuk menerima si pengantinya dengan nafiri lagi.
Kasihani bangsa itu yang orang bijaknya pekak kerana tua dan orang kuatnya masih
dalam buaian.
Kasihani bangsa yang terpecah kepada cebisan, dan setiap cebis mengaku dirinya
sebagai satu bangsa. --- Khalil Jibran