Wednesday, May 31, 2006

Gurindam pasir

Biarku berkelana, bebas, di muka bumi,
Agar aku merdeka dari kebejatan manusia kota.
-- '
Urwa bin al-Ward

Saya belum pernah melihat padang pasir begitu indah. Seperti ombak-ombak yang licin, angin membentuk dan mengalih wajah padang pasir. Bukit, lurah, dan riak dan keheningan. Waktu malam, waktu panas matahari yang membunuh.
Amirah Arab Bersatu (UAE), dimana terletaknya bandara Dubai, melalui permodenan yang laju. Kepesatannya menakjubkan, meninggalkan negara-negara Arab lain jauh dibelakang. Tetapi padang pasir akan kekal sebagaimana yang dinyanyikan oleh penyair-penyair jahiliyyah.
Saya membeli buku ini, dan ianya membocorkan saku saya, bukan kerana fotografi Gloria Kifayeh. Meskipun fotografinya amat luar biasa. Ia menambah keinginan saya untuk melihat masyarakat badwi, dengan unta, khemah dan pohon kurmanya. Tetapi saya dipaksa membeli buku ini kerana keindahan padang pasir ini ditafsirkan melalui puisi-puisi jahiliyyah seperti 'Imru' ul-Qays.
Qifa nabki min zikra habibi wa manzili -- inilah ayat pertama dari 'Imru' ul-Qays yang perlu dihafal oleh pengkaji sastera Arab -- Berhenti! mari kita ingati dengan air mata kekasih dan kesan khemahnya.

Monday, May 29, 2006

Hari-hari Anwar al-Sadat


Dari KL ke Kaherah saya transit di Dubai begitu lama. Agaknya sembilan jam. Airpot Dubai ini satu ketakjuban. Arab badwi padang pasir ini, dua puluh tahun lalu masih tidur bersama unta dan kaldai, boleh mengendalikan airport sehebat Singapura. Apakah rahsia ketakjuban ini. Menurut firasat saya, Amirah Arab Bersatu (UAE) ini tidak mengamalkan DEB. Kecuali polis saya tidak nampak muka arab dalam kawasan bebas cukai. Aiport itu didominasi oleh orang-orang Asia selatan -- bangsa Paki dan India. Tidak ada kuota untuk pekerja dan peniaga badwi yang masih rindukan kencing kaldai.
Untuk membunuh masa saya membeli dvd Ayyam al-Sadat dan menontonnya melalui laptop. Filem ini bersandarkan autobiografi Anwar Sadat al-bahtsu an dzati (Mencari makna diri) dan Jehan Sadat Woman of Egypt. Pelakin besar Mesir, Ahmad Zaki, mengambil peran Anwar al-Sadat. Saya tidak tahu selama ini presiden Mesir itu begitu banyak menggerak-gerakan bahagian badannya bila berucap. Hampir seperti badut. Adakah Ahmad Zaki overacting ? Saya sebelum ini telah membaca versi Inggeris autobiografi Sadat In Search of Identity. Dan saya kagum dengan beliau. Pendirian saya sekarang adalah Sadat lebih besar dari Nasser. Kalau Amerika tidak di belakang Israel Mesir telah mengalahkan Isreal dalam perang Ramadhan 1973. Dari segi diplomasi juga Sadat membuat Israel terduduk dan bingung. Nasser hanya pandai memainkan sentimen Arab. Dan berucap dalam kubu orang Arab. Tetapi Sadat memasuki sarang singa dan berpidato di depan musuh-musuhnya dan menyatakan pendiriannya. Pidato Sadat di Knesset, parlimen Israel, adalah inisiatif politik Sadat yang paling imaginatif. Filem ini mengambil footage pemimpin-pemimpin Israel mendengar ucapan Sadat. Golda Mier, Shimon Prerez, Yitzak Rabin, dan paling menarik sekali adalah body language Moshe Dayan. Kerana keberanian itu jasad Sadat dikoyak-koyakkan oleh peluru yang ditembakkan dengan laungan takbir.

Saturday, May 27, 2006

The lebai's cats


Rastom sudah memberikan jawaban kepada novelis grafik Joann Sfar (gambar) yang mengarang and melukis The Rabbi's cat.

Zhuge Liang


Aneh. Di kota negara Bani Hasyim saya terdorong untuk menulis tentang strategis agong Zhuge Liang. Sebabnya? Kerana saya bersua dengan Shen Yee Aun dalam ruang maya. Dalam biodatanya Shen menyenaraikan shuyukhnya. Dan teratas sekali adalah Zhuge Liang. Saya kira Shen lebih dipengaruhi oleh siri televisyen San Guo Yan Yik dari teks novel sejarah yang ditulis dalam dinasti Ming. Dalam siri tv tersebut, saya tak tahu berapa kali saya ulang tonton sehingga anak-anak saya semua tahu nama-nama Cao Cao, Lui Bei, Zhang Fie, Guan Kong, memang menonjolkan ketokohan Zhuge Liang. Tetapi dalam imaginasi popular masyarakat Cina tokok yang dipuja dan disembah adalah Guan Kong kerana kegagahan, keberanian dan keikhlasannya. Saya juga memilih Zhuge Liang sebagai wira saya, dan kerana pengaruh siri tv tersebut. Ketika saya melawat muzeum Taiwan beberapa tahun lalu saya mencari-cari kalau ada lukisan gambar Zhuge Liang dijual sebagai cenderahati. Tidak ada. Hanya Guan Kong dan Zhang Fie, lukisan, patung dan macam-macam lagi. Dan Shen juga meletakkan Muawiyah sebagai sebagai salah seorang sheikhnya. Dan dia juga seorang aficionado chess. Shahmat! (Shahmat = raja mati, asal kata checkmate. Betul Rastom?)

syifarat dapincyi


Ada kedai buku kecil di lobby Hotel Intercontinental (Amman) yang aku duduk sekarang. Tengok dan belek buku. Ternampak versi Arab novel bestseller Dan Brown. Nak beli tak?

Friday, May 26, 2006

Perjuangan seorang rasis



Semasa saya merayau-rayau semalam di kota Naguib Mahfoudz saya ternampak buku rasis ini dijual ditepi jalan. Apakah inisiatif menghasilkan versi Arab Mein Kampf mencerminkan persetujuan popular di kalangan masyarakat Arab kepada "penyelesaian muktamad" Hitler?

Wednesday, May 24, 2006

Kena bom ke?

Puan Ainon lapor aficionado gelap gulita. Saya buka. Memang gelap. Saya tak tahu. Saya cuba buat posting kalau boleh. Sekarang ini lounge airport di Dubai, 5.45 pagi. Dalam perjalanan ke Kaherah. Lepas itu ke negeri Bani Hashim. 31 Mei baru balik KL.

Monday, May 22, 2006

Kutub Khanah Maya

Untuk Puan Ainon dan lain-lain penggila kitab:
Buku, seperti wang, tidak pernah cukup. Namun kita bernasib baik hidup dizaman internet. Tidak perlu mengembara seperti dalam cerita Xi You Ji (Pengembaraan ke Barat), kisah pendita Buddha Cina meredah hutan dan gunung ke India untuk mencari sutra mazhab Mahayana. Atau seperti Khalifah al-Ma'mun terpaksa menghantar perpustakawannya ke Bizantin. Questia pastinya satu instrumen pencerahan demokratik yang merentasi sempadan untuk zaman kita.

Sunday, May 21, 2006

Siapakah dia?

Pinggir sebagai kanun


Cacatan Pinggir, sudah lima jilid dan akan datang lagi, saya wajibkan di Jalan Telawi. Dan mereka yang ingin menulis prosa Melayu yang bertenaga esei-esei Goenawan Mohamad adalah satu kemestian. Sekiranya saya berpengaruh di Kementerian Pendidikan saya akan wajibkan lajaran Cacatan Pinggir sebagai teks untuk STPM. Juga untuk bahasa Melayu di universiti-universiti. Saya mula mengungah prosa macho Goenawan melalui Cacatan Seorang Seniman sebagai Si Malin Kundang. Pada hisaban saya esei-esei Goenawan, dari isi, laras dan kemitmen kepaba kebebasan, setara dengan prosa Octavio Paz dan Czeslaw Milosz. Baca sahaja surat terbukanya kepada Pram. Namun sekarang saya tidak membaca esei-esei Goenawan lagi. Sebabnya? anxiety of influence!

Friday, May 19, 2006

Bermula dengan Tu Wei-Ming


Cina sedang muncul sebagai gergasi ekonomi. Kekuatan ekonominya memberikan lonjakan kepada Cina sebagai kuasa baru dalam percaturan politik antarabangsa. Dari segi politik Cina masih kekal dengan sistem kuku besinya. Tetapi dari segi ideologi Cina bukan lagi komunis. Dan Parti Komunis Cina telah menjadi parti kapitalis terbesar di dunia. Apakah ideologi yang digunakan oleh elit Cina hari ini untuk memberikan legitimasi kepada sistem pemerintahan hari ini? Konfusianisme! Sejak beberapa tahun yang lalu Parti Komunis Cina telah secara rasmi mendakap semula konfusiansime. Dan sememangnya untuk memahami tamaddun Cina kita tidak boleh mengelakkan diri dari untuk memahami konfusianisme. Tu Wei-Ming adalah penafsir konfucianisme yang terbaik hari ini dan dia seorang penulis yang sangat prolifik.

Thursday, May 18, 2006

Gen kaki ayam

Barefoot Gen buat pertama kali membuat saya melihat komik secara serius. Sebelumnya semua komik saya lihat sebagai genre picisan. Saya terdorong membelinya, mungkin dua dekad lalu, kerana ia diterbitkan oleh Penguin. Kita boleh menghisab mutu buku melalui penerbitnya. Dan Penguin adalah penerbit buku-buku bermutu. Komik ini empat jilid dan saya beli dan baca semuanya. Saya suruh anak-anak saya membacanya. Saya juga beli satu set untuk anak-anak Anwar Ibrahim. Sekarang edisi baru komik manusiawi dan anti perang ini telah dikeluarkan dan diberi pengantar oleh Art Spiegelman. Siapa dia Art Spiegelman?

Komik lagi


Ini novel grafik yang lucu. Namun isinya sedikit filsafat. Mulanya dalam bahasa Perancis. Kerana pengaruhnya yang popular dikalangan pembaca Perancis maka diterjemahkan ke bahasa Inggeris. Semalam saya diwawancara di Coffee Bean, Jalan Telawi, oleh seorang penyelidik dari Paris. Saya tanya tentang Joann Safar. Dia (perempuan muda) kata novelis grafik itu memang popular di Perancis.
Bagaimanapun saya tidak beli komik ini. Mahal, US$20. Saya baca beberapa bulan lalu di Barnes and Noble, Herndon, satu pekan kecil kira-kira satu jam memandu dari Washington D.C. Saya pergi beberapa hari ke kedai buku itu untuk membacanya sampai habis.
Kucing rabbai ini pandai dan menemani tuannya membaca kitab-kitab suci sehingga dia boleh membaca kitab tersebut tetapi tidak boleh bercakap. Suatu hari dia memperolehi kudrat berkata-kata. Dan kata-kata pertama yang diucapkannya adalah satu pembohongan. Dia dimarahi oleh sang pendita: "Kamu kucing Yahudi, berdosa berbohong."
Kucing itu menjawab:"Siapa kata aku kucing Yahudi."
"Kamu memang kucing Yahudi. Kamu milikku. Aku seorang rabbi, ergo kamu kucing Yahudi!" hujah sang pendita Yahudi.
"Kalau benar aku kucing Yahudi kenapa aku tidak bersunat?" hujah si kucing.
Si rabbi terdiam. "Apapun kamu tetap kucing Yahudi," hujah rabbi.
"Ok, aku kucing Yahudi. Setiap orang Yahudi mesti melakukan bar mitzvah (upacara penyahudian). Aku mahu dibar mitzvahkan."
Kucing itu dibawa oleh tuannya kerabbi besar untuk dibar mitzvahkan. Rabbi besar enggan melakukan upacara itu. "Tidak ada dalam kitab kucing pernah dibar mitzvahkan."
Kucing itu berdebat dengan rabbi besar, dan dia menang dalam perdebatan itu....

Wednesday, May 17, 2006

Ustaz neocon bertaubat?

Semalam saya ke Kinokuniya untuk membeli novel terbaharu Philip Roth Everyman. Novel itu belum sampai. Tetapi bila sudah masuk kedai buku kena beli buku. Duit yang saya bawa untuk membeli novel itu saya gunakan untuk membeli karya terbaharu Francis Fukuyama After the Neocons. Saya sedang membacanya, dalam bas, dalam lrt dan dalam komuter. Mengasyikkan. Mana tidak. Seorang inteletual neocon kini mengkritik dasar-dasar Bush. Orang kiri akan bertepuk tangan. Insya Allah saya akan ulas buku ini di jalantelawi.com

Tuesday, May 16, 2006

Komik pun baca!


Sekarang ada jenis komik yang sudah dinaiktaraf. Tidak lagi dipanggil komik. Novel grafik, itu nama barunya. Dan genre ini diberikan pengiktirafan melalui kata pengantar oleh penulis-penulis handalan. Novel grafik Joe Sacco Palestine diberikan pengantar oleh Edward Said. Dan The Plot: the Secret Story of the Protocols of the Elders of Zion di berikan pengantar oleh Umberto Ecco. Wow! Gue udah bace. Beli kat kedai buku di Dupont Circle, Washington D.C. Dan..dan.. ha..ha..ha..di dalamnya Malaysia disebut. Cari novel grafik ini di Kinokuniya. Kalau tak ada memang tak guna kedai buku tu!

Lembablah Kino kita!


Ayak liok saya meleleh bila Philip Roth sudah menerbitkan novel terbaharunya. Saya ingatkan dia akan gantung pen setelah Plot Against America. Saya baca dua kali novel itu. Amat bagus! Dengan novel itu saya kira Roth sudah sampai bulatan penuh, dari seorang anak muda Yahudi yang bencikan Yahudi kepada seorang penulis tua yang menceritakan bahawa orang Yahudi masih tidak selamat. Dalam novel itu wiranya juga bernama Philip Roth, seorang kanak-kanak berumur tujuh tahun yang melihat keluarganya berkecai apabila Lindberg dipilih menjadi presiden Amerika. Sebelum dipilih Linberg adalah wira Amerika kerana menjadi orang pertama terbang menyeberangi lautan Atlantik. Lindberg dalam sejarah juga seorang anti-semetik. Tetapi kisah Lindberg menjadi presiden itu adalah rekaan, tetapi sejarah rekaan itu adalah cara novelis untuk meneroka apa mungkin terjadi pada orang Yahudi Amerika sekiranya Amerika diperintah oleh seorang pro-Hitler.
Bila saya baru tahu Philip Roth yang sudah berumur 70an menulis Everyman saya bergegas ke Kinokuniya. "Kami ada pesan buku itu, tetapi hanya sampai hujung bulan ini, atau bulan depan," kata perempuan muda di bahagian maklumat. Ini yang saya tak suka duduk di Malaysia. Kalau di Amerika saya sudah habis baca!

Rome

Musim pertama Rome selesai saya tonton. Drama musim ini berakhir dengan pembunuhan Julius Ceaser. Minat sejarah saya kembali segar dan saya mula membaca sejarah hidup Ceaser yang ditulis oleh Plutarch.

Monday, May 15, 2006

Mahabharata


Sebahagian pendidikan saya tentang epik India ini adalah melalui video. Ini adalah versi ringkas yang dikeluarkan oleh Peter Brook. Pengarah ini menggunakan pelakun-pelakun dari pelbagai benua kerana pada beliau Mahabharata adalah epik dunia.

Philip Roth


Saya peminat Philip Roth. Hampir semua novelnya saya baca. Antara yang belum saya baca adalah novel kontroversi zaman mudanya, Portnoy's Complaint. Novel-novelnya seperti tingkap kepada jiwa semasa Amerika. Tetapi jiwa kosmopolitan Yahudi. Dia bukan propagandis Zionis. Bahkan dia sering diselar sebagai Yahudi yang anti-semitik.