Monday, December 04, 2006

Herbert von Karajan - Beethoven Symphony No. 5

Herbert von Karajan Conducts - Beethoven Symphony No. 5

Tuesday, November 21, 2006

Haram buat mereka yang tak syok sendiri


Saya diperkenalkan pada novel ini oleh seorang penulis dan pakar bahasa dari Karnataka, India, yang saya temui di Iowa. Penulis tersebut gemar kepada novel-novel yang susah dan The Death of Virgil adalah novel sukar kelas pertama. Hermann Broch (1889-1951) pasti seorang penulis yang syok sendiri untuk menulis sebuah novel yang sukar, makanya tidak popular. Saya membuat pengakuan, saya belum membacanya. Otak saya perlu tenaga untuk mengunyahnya, maka saya menangguhkan pembacaan. Broch selalu dibandingkan dengan Robert Musil, seorang lagi novelis sukar, yang menyelami pengalaman kemanusiaan yang digelar sebagai modeniti.

Saya perkenalkan novel ini kerana ia berkaitan dengan kiriman saya yang lalu tentang Vergil dan puisi agongnya Aeneid, kisah pengembaraan perwira Troy untuk membina kota baru setelah kota kelahirannya hangus. Setelah puisi agong itu siap Vergil meninggalkan wasiat agar ianya dibakar. Tetapi maharaja Roma ketika itu, Augustus, mengingkari wasiat tersebut. Maka Aeneid selamat dan sejarah kesusasteraan kemudiannya meletakkan ianya sebagai puisi kedua agong selepas karya Homer.

Der Tod des Vergil, begitu tajuk asalnya dalam bahasa Jerman, mula ditulis oleh Broch tatkala beliau dalam kem tahanan Nazi. Sang penulis berbangsa Yahudi. Novel besar ini mencampurkan antara realiti dan halusinasi, puisi dan prosa, melakunkan semula saat-saat akhir hanyat Virgil. Siapa yang sudah membacanya kongsilah syok sendiri itu dengan kita.

Syok sendiri

Royal King Kong said...
aku rasa engkau ni menulis tahap syok sendiri. tak guna engkau tulis berat2 kalau orang malas nak baca. bukan tiada orang nak baca, mesti ada punya...tapi bila dah habis baca org naik menyampah dengan tulisan engkau.


mukhsen said...
-epik klasik sangat asing bagi saya (mungkin generasi saya secara general), Terima Kasih Pak untuk kongsi.


Apabila sesuatu kisah, buku, wayang, telah diberikan taraf 'epik' maka ia bermakna hebat, skopnyabesar, plotnya bercabang-cabang, ceritanya berantai, karektor yang terlibat begitu ramai, manusia besar, sederhana dan kecil. Filem Lord of the Ring, sebagai filem, boleh dikatakan bersifat epik. Namun buku Tolkein yang menjadi asas filem tersebut tidak dianggap sebagai hasil sastera. Novel Leo Tolstoy yang bertajuk Vojna i mir (Perang dan Damai) pasti satu epik moden, mengesahkan masyarakat kelas atasan Russia dikala zaman damai dan tatkala Napoleon melancarkan penaklukan Eropah dan seterusnya menawan dan menduduki Moscow. Saya membacanya di semester satu atau dua di ITM dan kesannya begitu mendalam sehingga saya memanggil girlfried saya Natasha, gadis yang jadi rebutan dikalangan jejaka Mocow. Tetapi gambaran yang terus segar dalam ingatan saya meskipun saya hanya membacanya sekali dann sudah 30 tahun adalah tatkala Putera Andrei luka dan terbaring di medan perang dan sebelum pengsan melihat awan dan langit biru yang indah dan damai.

Tetapi gelaran epik kepada filem atau novel moden hanyalah sifat yang menyerupai sifat-sifat epik sebenar. Mana satu epik sebenar? India melahirkan dua epik, Mahabharata dan Ramayana. Epik juga bermakna pengaruhnya begitu meluas maka kisah-kisah dalam kedua epik tersebut menyerang sempada India ke Sri Lanka, ke Thailand dan Burma, ke Laos danVietnam, ke Jawa dan ke Serambi Mekah. Di Barat Illiad dan Odessey adalah dua epik yang sesaorang itu tidak boleh dikatakan berpendidikan kalau tidak mengetahuinya. Begitu besar pengaruhnya sehingga cebisan dan nama dan ungkapan dari epik itu menjadi bahasa harian. 'Tumit Akilis' menjadi ungkapan kepada titik kelemahan kapada manusia atau kuasa yang kebal, 'aphrodisiac' atau peransang tenaga batin adalah dari nama Aphrodite, dewi kayangan yang tercantik. Tajuk epik Odessey sudah menjadi kata nama bagi pengembaraan yang payah dan penuh rintangan. Dan epik ketiga dalam tamadun Barat adalah Aeneid. Saya telah menyetuh di sana sini epik Homer dalam buku saya, maka saya ingin memperkenalkan hasil tangan penyair agung Virgil.

Kejahilan yang merata tentang karya-karya agung ini adalah tanda kecacatan sistem pendidikan. Untuk memahami epik iainya tidak lebih susah dari untuk memahami makenik kuantum namun ramai yang boleh memahaminya. Maka kita berterima kasih pada Aqil Fitri kerana memperkenalkannya kepada orang awam dalam enak sembang. Mungkin saya orang yang pertama menulis tentang Virgil dalam bahasa Melayu. Karya picisan yang tak berotak memang sudah bermaharaja lela. Dan citarasa picisan ini pula telah bongkak dan menyombong diri. Dia bukan sahaja tidak malu dengan kejahilannya tetapi menyangka orang lain juga jahil dan setidak-tidaknya mahu orang lain jahil sepertinya.

Katakan saya syok sendiri. Itu bukan satu keaiban, lebih-lebih lagi apabila syok sendiri itu kepada sesuatu yang agong. Apakah yang mendorong Einstein teori relativiti kalau tidak syok sendirinya? Syok sendiri adalah pendorong yang terkuat kepada penemuan dan penciptaan.

Thursday, November 16, 2006

Puisi Perang



Puisi besar adalah tentang cinta, tetapi puisi teragong adalah tentang perang. Homer, penyair teragong Barat, menyanyikan gurindam perang Troy. Dalam Illiad -- yang mulai saya terjemahkan dalam blog ini -- sang penyair menceritakan tahun terakhir kota Troy atau Illium dikepong oleh tentera Greek, kisah Akilis berkelahi dengan Agamemnon, ketua seluruh bala tentera Greek, Akilis mengamuk, merajuk, menangis dengan ibunya Dewi Tetis, dan kemudiannya membunuh pengeran Hektor, ketua pertahanan Troy. Setelah Troy hangus tentera-tentera Greek pulang ke negeri masing-masing. Ramai yang mati dalam perjalanan pulang. Agamemnon selamat sampai ke negerinya. Sesampai ke istanyanya raja itu dibunuh oleh permaisurinya. Akilis, wira Greek, mati dibunuh oleh Paris, adik Hektor dan punca perang kerana melarikan Helen. Mala petaka yang dialami oleh wira-wira Greek yang pulang, khususnya Odysseus, dikisahkan oleh Homer dalam Odyssey. Odysseus membawa anak-anak buahnya pulang, tetapi semuanya mati tenggelam kerana taufan. Dan hanya Odysseus seorang yang selamat pulang, dan pulang sebagai seorang pengemis dan rumahnya dipenuhi oleh pemuda-pemuda negerinya yang ingin mengahwini isterinya Penelope.

Apabila Troy tumbang dan terbakar seorang perwiranya Aeneas, sepupu kepada Hektor, membawa orang-orang Troy yang masih selamat lari. Dan mereka lari untuk membina Troy yang baru. Dan kota itu kemudiannya menjadi ibu kota kepada empayar Barat yang terbesar dan gemilang -- Rom. Virgil adalah penyair teragong Rom dan Aeneid adalah puisi teragong dalam bahasa Latin, lingua franca empayar Rom. Robert Fagles adalah penterjemah Illiad dan Odyssey ke dalam bahasa Inggeris. Terjemahan beliau adalah yang terbaik. Nah sekarang terjemahan Inggeris epik Rom itu memasukki pasaran awal bulan ini.

Empayar Rom adalah empayar militer. Nah, mana ada empayar dalam sejarah dunia yang tidak militer? Empayar Islam dan empayar kafir semuanya militer. Dan Rom, sebagai Troy baru, juga dibangunkan di atas senjata dan darah. Tetapi dalam perang juga manusia bercinta. Atau yang mana dulu, cinta atau perang? Paris bercinta dengan isteri orang, iaitu Helen, dan mereka lari. Maka perang meletus. Virgil tidak boleh mengatasi Homer sebagai penyair. Tetapi dalam kisah percintaan antara Aeneas dengan Dido, Virgil mengatasi Homer. Dan percintaan itu tragis, makanya ia gemilang.

Monday, October 16, 2006

Firasat Jawa

Menurut takwim Jawa saya dilahirkan di minggu kliwon. Nah takwin Jawa pulak enggak satu, macam-macam dong -- saka, pawukon, mangsa, wetonan dan pasaran. Saya dilahirkan di minggu kliwon mengikut sukatan masa wetonan. Putaran masa mengikut wetonan digunakan untuk menilik nasib dan mencari masa yang sesuai untuk mengadakan majlis-majlis. Dan ia juga boleh digunakan untuk mengenal sifat sesaorang. Maka sifat saya, justeru dilahirkan di minggu kliwon adalah seperti berikut:

Satu lagi tipe pendiam dengan pendirian tegas dan kemauan keras. Anda sangat pandai dalam membuat orang selalu menduga-duga perasaan anda yang sebenarnya. Anda sebetulnya cukup sensitif, tetapi jangan berharap orang lain akan mempercayainya pada saat mendengar anda beradu pendapat. Anda pandai bersosialisasi, pandai berbicara, dan memiliki bakat politik yang besar. Dengan kelebihan seperti ini, tidak mengherankan tipe-tipe seperti anda sering mencapai kedudukan yang tinggi!
Mahu percaya? Apapun saya seronok membacanya. Dan kamupun boleh mengenal wetonan anda, diri kamu atau cewek kamu, dengan memasukkan tarikh lahir. Ilmu ini boleh dipelajari disini di sini. Boleh belajar ilmu Jawa, tapi jangan sampai tidak liberal!

Saturday, October 14, 2006

Seteru nasionalis

Penulis adalah manusia subversif. Kalau ia menulis semata-mata kebenaran tanpa memperdulikan kekuasaan. Tidak semua orang Turki merayakan Orhan Pamuk yang meraih Hadiah Nobel kesusasteraan tahun ini. Golongan nasionalis Turki melihat beliau sebagai musuh bangsanya. Dalam Perang Dunia Pertama Turki melakukan jenayah kemanusiaan, genocide terhada bangsa Armenia dan Kurdi. Sastrawan tersebut pernah diseret ke mahkamah kerana menuntut kerajaannya mengakui jenayah tersebut.

Friday, October 13, 2006

Nobel untuk alumnus IWP


Alumni International Writing Program (IWP) Iowa di seluruh pelusuk dunia dengan berita Orhan Pamuk memenangi Hadiah Nobel Kesusasteraan. Ketika saya mengikuti program itu dua tahun lalu pengarahnya Christopher Merrill berkata alumni IWP telah memenangi pelbagai hadiah penulisan kecuali Hadiah Nobel. Nah sekarang sudah ada. Meskipun Orhan datang ke Iowa saban tahun untuk menulis tetapi dia tidak datang di musim luruh ketika saya di sana. Tetapi saya bertemu novelis Mo Yan yang membacakan cebisan novel terbaharunya Big Breasts and Wide Hips dan Bei Dao datang untuk membaca puisinya. Kedua-dua penulis dari tanah besar Cina ini juga sudah disebut sebagai calon-calon Nobel.

Wednesday, October 11, 2006

Kebahagiaan di dunia


Apakah tidak ada kebahagiaan di dunia ini? Pasti ada. Buktinya adalah La Salul Cel Negru, sebuah lagu Romania yang dinyanyikan oleh Dona Dumitru Siminica.

Wednesday, October 04, 2006

Syariat dewata lawan hukum negara 1


Oedipus sudah dibuang negeri, hukuman yang beliau jatuhkan ke atas dirinya sendiri. Dia disumpah dewata bukan kerana kebejatan yang sengaja dilakukan tetapi kerana keyakinan kepada kemampuan dirinya, usaha manusia boleh melawan takdir. Kata Ibn Ata'illah dalam Hikam "kekuatan himmah tidak boleh menewaskan takdir." Oedipus mendengar ramalan dia akan membunuh bapanya dan mengahwini ibunya. Dia begitu gerun mendengar ramalan itu dan terus tidak pulang ke rumahnya dua orang tuanya. Tetapi tindakan yang beliau sangka sebagai langkah untuk mengelakkan ramalan tersebut dari berlaku sebenarnya adalah tindakan yang bakal memenuhi ramalan tersebut. Pasangan yang selama ini dipanggil Oedipus ibu dan ayah hanyalah keluarga angkat. Dan dia lari meningalkan keluarga angkat untuk menuju ke keluarga sebenar dan melakukan perbuatan yang paling keji. Dan benih kekejian bersama isterinya, yang juga ibunya, melahirkan anak-anak yang juga adik-adiknya. Apabila hijab takdir terbuka sang ibu membunuh diri dan Oedipus membutakan matanya. Dan tirai pentas Oedipus Tiranus ditutup dengan Raja Oedipus turun tahta, meninggalkan negeri, dipimpin oleh anak-anaknya, untuk menjalani hidup dalam buangan. Dan mulut Oedipus mengeluarkan kata-kata filsafat: "Jangan sesiapa merasakan hidupnya bahagia selagi belum bertemu ajal."

Kenapa ulasan Conradagosy dipadamkan?

Saya mengambil keputusan memadam satu ulasan Conradagosy. Dan saya tidak perlu meminta maaf. Beliau telah mengambil sikap yang saya tidak sukai iaitu meremehkan bahawa Melayu yang juga saya kira sebagai satu menifestasi kemalasan intelektual. Saya sudah ingin menegur, tetapi belum sempat, tentang ulasan beliau sebelum ini yang banyak menggunakan pendekatan potong dan tampal sumber-sumber bahasa Inggeris. Ini tidak bermakna saya takut atau tidak menghargai hujah-hujah beliau. Pengikut-pengikut awal khalidjaafar.org dan Aficionado tahu pendirian saya tentang bahasa meskipun saya tidak belum mengatakannya secara jelas. Sekarang sudah sampai masanya. Bahasa Melayu cukup berupaya untuk menjadi saluran perdebatan intelektual. Dan saya amat tidak suka mereka yang merasakan dirinya istimewa boleh berdebat dalam bahasa Inggeris dan meluat pada mereka berasa sukar dan tidak selesa untuk berdebat dalam bahasa Melayu setelah 50 tahun merdeka. Conradagosy boleh menghantar kembali ulasannya. Dan teruskan perdebatan, ingat, dalam bahasa Melayu!

Saturday, September 30, 2006

Nahdah liberalisme

Conradagosy memberikan sanggahan bersyahwat terhadap ulasan saya terhadap sanggahan awal beliau. Pertamanya saya tidak melontarkan 'red-herring' untuk mengelakkan dari menjawab apa yang beliau sebutkan sebagai 'fatal flaw' dalam kritikan saya terhadap pandangan Tun Salleh. Saya memang ingin menjawabnya dan akan saya jawab. Namun saya ingin terlebih dahulu mendepani sikap yang agak meluas, sikap tidak mahu menghujahi sesuatu pemikiran secara saksana maka mengambil sikap sambil lewa kononnya pemikiran itu sudah dicincang. Dalam perdebatan agung, agung kerana ianya adalah pertelengkahan antara dua visi pedekatan dan strategi perubahan masyarakat yang masih relevan hingga kini, antara Edmund Burke dengan Thomas Paine sebenarnya kecenderungan saya adalah mirip kepada Burke. Tetapi saya tidak menganggap Paine ditewaskan oleh Burke atau pemikiran beliau menjadi lapuk semata-mata kerana keterlanjuran dan kegilaan yang terjadi dalam Revolusi Perancis. Paine adalah seorang wira pada satu aliran liberal yang radikal, aliran liberal, yang saya kira, lebih banyak berkongsi sikap dan pandangan dengan Continental Enlightenment. Berdasarkan tulisan-tulisan tentang riwayat hidup dan pemikiran beliau, termasuk oleh filasuf A.J. Ayer, Paine jauh lebih popular. Sementara imej Burke adalah sebagai seorang reaksioner dan cemuhan Burke sebagai seorang reaksioner itu menjadi slogan dan retorika bagi mereka yang tidak mahu melihat pemikiran dan hujah beliau dengan lebih mendalam. Meskipun dalam perdebatan agung tersebut saya disebelah Burke, saya akan jelaskan sebabnya, saya mengutip tulisan Paine tentang pemerintahan atau kerajaan, dalam keadaan terbaik, sebagai 'necessary evil'. Saya amat menyetujui pandangan tersebut dan Paine mengungkapkannya dengan ayat-ayat yang amat persuasif. Namun saya bersama dengan Burke kerana konsepsinya tentang keteraturan sosial yang spontan, keteraturan yang tidak rancang oleh akal rasional konstruktivis -- jenis rasionalisme yang meluas dikalangan pemikir-pemikir Revolusi Perancis --, sebaliknya terhasil dari tindakan manusia; keteraturan yang tidak dirancang oleh akal manusia, namun muncul dari tindakan manusia. Keteraturan sosial yang spontan ini merupakan salah satu rukun pemikiran liberal dimana Burke adalah salah seorang perumusnya bersama-sama tokoh-tokoh aliran Scottish Enlightenment. Dan nasab intelektual rukun liberal ini ditemukan dan diungkapkan untuk generasi sekarang oleh F A Hayek (lihat tulisan beliau Dua Jenis Minda dalam jalantelawi.com), ahli ekonomi dan pemikir yang mempunyai peranan terbesar dalam nahdah liberalisme di abad ke-20. Setakat maklumat yang saya baca James Mackintosh tidak murtad dari liberalisme. Beliau hanya murtad dari keyakinan dan keghairahan beliau terhadap Revolusi Perancis. Dan jangan mengidentifikasikan Revolusi Perancis dengan liberalisme sebagaimana Tun Salleh mengidentifikasikan Melayu dengan Islam. Pro dan kontra terhadap Revolusi Perancis mempunyai bab dan dinamika yang tersendiri yang sebahagian besarnya tidak sama dengan sejarah liberalisme. Dari satu perspektif Revolusi Perancis adalah anak kepada Continental Enlightenment, jenis Pencerahan yang mencetuskan jenis akal yang bersifat konstruktuvis, dan jenis akal ini kemudiannya merangka utopia-utopia komunis dan sosialis dengan konsepsi manusia barunya dan apabila menjadi kenyataan utopia-utopia tersebut dipenuhi dengan gulag. Begitu juga saya tidak gusar dengan kemurtadan Wordsworth dan Coleridge, penyair-penyair Romantik ini hanya murtad dari taklid kepada Revolusi Perancis, dan lagi pun dalam sejarah pemikiran mereka tidak dianggap sebagai pemuka liberalisme. Nah Conradagosy, saya belum tergamam. Saya KOOL. Begitupun saya belum habis, saya hentikan setakat ini untuk memberi peluang pembaca menhazam dan membanding hujah-hujah kita sebelum saya menangani apa yang saudara sebut sebagai 'fatal flaw' itu.

Thursday, September 14, 2006

Liberalisme sudah dicincang?

Ini berlaku lebih dua dekad lalu. Saya kemana-mana akan membawa sebuah buku ditangan. Kerana tidak mahu membuang masa. Bila beratur, di JPJ misalnya, saya boleh membaca, kadang-kadang samping 30 minit. Maka saya tidak merasakan menunggu terlalu lama, maka saya selamat dari menyumpah ketidakcekapan JPJ atau lain-lain perkhidmatan yang memaksa saya beratur. Begitu juga ketika dalam bas. Dan lebih dua dekad yang lalu buku yang saya bawa adalah The Wealth of Nation tulisan Adam Smith. Maka saya terserempak dengan seorang kawan yang lebih tua. Dia ketika itu bekerja di FAMA, dan seorang yang mempunyai ijazah ekonomi. Bila dia melihat buku yang saya bawa dia menegur, dengan keyakinan seorang yang memiliki ijazah ekonomi,: "Tiada siapa yang membaca buku itu sekarang." Dia bernasib baik kerana kebetulan masa itu saya tidak berminat untuk berdebat. Kalau tidak, saya kira dia nahas. Kalau peristiwa itu berlaku sekarang, dan ketika saya dalam mood untuk berdebat saya akan katakan: "Jangan sombong dengan BA ekonomi kamu. Joseph Stigler, seorang pemenang Hadiah Nobel ekonomi, menyebut Wealth of Nation adalah buku ekonomi yang terbaik pernah ditulis. Dan belum ada saingannya hingga kini."

Sikap yakin yang melucukan ini, iaitu yakin berdasarkan maklumat yang sedikit, diulangi oleh Conradagosy dalam mengkritik kritikan saya terhadap pandangan Tun Salleh Abas. Dia berkata "....tetapi jangan lupa, fahaman liberal sendiri sudah lama dicincang dan telah ditalkinkan oleh penganut2 asalnya sendiri bak kata bagi setiap Thomas Paine berbangkitlah sepuloh Edmund Burke." Saya heran dengan mereka-mereka yang begitu yakin membuat kenyataan sombrono tanpa membuat sebarang semakan. Saya kebetulan baru sahaja selesai membaca buku Christopher Hitchin tentang Paine yang bertajuk The Rights of Man: A Biography yang membuktikan keghairahan terhadap Paine terus segar. Pelbagai edisi Rights of Man, Common Sense dalam lain-lain tulisan pemikir tersebut terus diterbitkan, diberikan pengantar baru dan sebagainya. Karya lengkap Paine telah diterbitkan dalam edisi American Library maka meletakkan karya Paine sebagai "American canon." Rights of Man telah diterjemahkan kepelbagai bahasa dunia, dan teman saya Eddin Khoo sedang menyiapkan edisi Melayunya. Debat agong antara Burke dengan Paine masih segar yang punya penyokong masing-masing hingga hari ini. Bukan sahaja kedua-dua aliran berperang, kadang-kadang berkahwin pula dan melahirkan sintesis baharu. Jangan mudah mengatakan liberalisme sudah dicincang. Jadilah intelektual yang jujur. Lihat sahaja pengaruh pemikiran Hayek, Popper, Isaiah Berlin, Ernest Gellner dalam dunia pemikiran hari ini. Dan tulisan-tulisan pemenang Amartya Sen, seorang lagi pemenang Hadiah Nobel ekonomi, John Rawls, Donald Dworkin (dalam bidang perundangan) adalah perumusan semula pemikiran liberal. Liberalisme hidup, segar, kaya dan pemperkayakan, rencam. Siapakah agaknya penganut awal liberalisme yang kononnya mentalkin faham tersebut?

Friday, September 01, 2006

Perlembagaan, Kebebasan dan Kosmopolitanisme*

Biar saya mulakan dengan membuat pertimbangan kritis terhadap pandangan Tun Salleh Abbas. Saya menyanjung Tun Salleh dalam perjuangannya mempertahankan kebebasan institusi kehakiman dari cengkaman pihak eksekutif. Tetapi saya agak kritikal dan sangsi dengan beberapa aspek tafsiran beliau terhadap perlembagaan. Meskipun tafsiran beliau tatkala menjadi Ketua Hakim Negara mempunyai kekuatan undang-undang saya percaya Perlembagaan juga boleh ditafsirkan dari sudut-sudut lain, misalnya dari perspektif sejarah, dari sudut falsafah dan sebagainya.

Pada saya Perlembagaan Persekutuan adalah satu dokumen liberal. Maksud saya adalah: Perlembagaan Persekutuan ada buah atau hasil dari perjuangan liberal, iaitu perjuangan manusia untuk menamatkan, atau sekurang-kurangnya mengurangkan, kejahatan yang berpunca dari pemerintah. Dalam pemikiran liberal kerajaan atau pemerentahan adalah kejahatan yang perlu, necessary evil. Kata Thomas Paine dalam risalah yang bertajuk Common Sense: “Society is produced by our wants, and government by our wickedness …. Society in every sense is a blessing, but government in its best state is but a necessary evil.”

Ketika gerakan liberal muncul di abad ke-17 perjuangannya adalah untuk menamatkan kuasa mutlak pemerintahan sistem beraja. Pemikiran ketika itu adalah raja memerintah secara mutlak kerana mandat yang diberikan oleh Tuhan – the Divine Rights of King. Ideologi ini disanggah oleh John Locke melalui Two Treatises on Civil Government. Menurut Locke apabila raja zalim rakyat berhak untuk bangun memberontak. Maka muncul perlembagaan, meskipun tidak bertulis, untuk membatasi kuasa raja. Selepas itu semua Negara-negara mempunyai perlembagaan bertulis untuk meletakkan batas-batas kepada pemerintah. Ada ruang yang tidak boleh disentuh oleh pemerintah seperti ruang peribadi, ada yang terdapat dalam minda sesaorang dan apa yang dipercayai oleh sesaorang.

Idea asas kepada perlembagaan adalah constitutionalism atau keperlembagaan, iaitu dengan membataskan kuasa pemerintah maka kebebasan rakyat akan terjamin, dan rakyat terpelihara dari kezaliman yang datangnya dari pemerintah. Kebebasan beragama, kebebasan bersuara, bergerak dan berhimpun adalah idea-idea yang terhasil dari perjuangan liberal, dan semua unsur-unsur in terdapat dalam perlembagaan kesemua negera-negara moden termasuk Malaysia.

Mungkin kerana sedar bahawa Perlembagaan Persekutuan adalah satu dokumen liberal maka Tun Salleh yang ketika itu Ketua Hakim Negara menulis satu rencana bertajuk “Traditional Elements of the Malaysian Constitution” sebagai rencana pertama kepada sebuah buku bertajuk The Constitution of Malaysia: Further Perpectives and Development yang merupakan kumpulan rencana untuk menghurmati Tun Mohamed Suffian.

Lima unsur disebut oleh Tun Salleh sebagai tradisional: Kesultanan, Agama Islam, Bahasa Melayu dan Kedudukan Istimewa Melayu. Secara sekali imbas perkara ini boleh diterima. Tetapi kerana saya telah berumur 50 tahun, dan lebih tua dari Kemerdekaan maka saya ingin meneliti secara kritis pandangan Tun Salleh. Pertama konsep tradisi itu sendiri. Sejauh mana kita perlu menoleh kebelakang dalam sejarah masyarakat untuk dapat kita merumuskan unsur tradisi tersebut. Apakah sehinga abad ke-19 tatkala masyarakat Melayu di mana institusi politik dan sosialnya paling lemah? Apakah imej masyarakat Melayu tradisi itu hanya terbatas kepada abad ke-19 atau masyarakat Melayu yang ditemui oleh Raffles, Francis Light, J W W Birch dan seperti yang ditulis oleh Frank Swettenham yang menggambar orang Melayu sebagai malas, bodoh dan bahlul.?

Dari sejarah pembentukan kerajaan Melaka di abad ke-15 merupakan detik penentu dalam sejarah Negara. Apakah amalan kesultanan Melayu Melaka di abad ke-15 tidak boleh dijadi sebagai unsur tradisi? Melaka sebelum jatuh ke tangan Portugis adalah salah satu kota terbesar di dunia. Dan ia adalah sebuah kota cosmopolitan. Terdapat 22 bahasa yang dituturkan, sebuah kota pelabuhan perdagangan bebas. Pemerintahnya terdiri dari pelbagai kaum, dan dengan penyertaan meluas masyarakat India (khususnya Gujerat), Arab dan Cina dalam perdagangan. Mengapakah sifat kosmopolitanisme ini tidak dilihat sebagai salah unsur tradisi.

Apabila kita menyebut tradisi politik Melayu kita harus sedar bahasa tradisi tersebut tidak monolithic, tidak jumud. Tradisi tersebut juga dinamik, kosmopolitan, khususnya dalam zaman Kesultanan Melayu Melaka. Aspek kosmopolitanisme masyarakat Melaka di abad ke-15, dan pemahaman dan apresiasi semula diri sejarah kita (our historical self) ini, sungguh relevan bagi kita hari ini. Saya juga melihat perkara ini sebagai satu unsur penting dalam memahami dan mentafsir Perlembagaan Persekutuan sebagai satu dokumen yang bernyawa ( a living document).

Saya juga berpendapat dengan pandangan Tun Salleh tentang agama Islam memerlukan penjelasan dan pengamatan. Beliau menulis: “The complete identification of religion with race is so fundamental to Malay thought that the religion of Islam has become an important constituent element in the legal and constitutional definition of ‘Malay’.” Cuba kita fikirkan ungkapan seperti “the greatest Malayan” – Melayu paling agung; “the pride of the Malay” – kebangaan bangsa Melayu; ungkapan ini digunakan oleh rakyat Filifina kepada wira mereka Jose Rizal, seorang Katolik. Begitu juga rumpun Melayu yang lebih besar, iaitu bangsa Indonesia yang juga kebetulan mempunyai jumlah rakyat yang beragama Islam yang terbesar di dunia , tetapi identifikasi kaum dengan agama itu tidak berlaku.

Tun Salleh juga menulis: “To be a Malay one must be a Muslim, although he may not be a pracitising or devout Muslim.” Beliau begitu tegas sekali mengatakan identifikasi Islam dengan MelayuDari perspektif Islam dan kepentingan menjaga imej kesucian dan tetapi meletakkan penghayatan Islam itu pada tahap minima. Bahkan penghayatan tidak perlu, cukup hanya pada nama. Islam ini menimbulkan beberapa persoalan. Imej Islam di Malaysia, khususnya dikalangan bukan Islam, akan bergantung kepada imej Melayu di kalangan orang-orang bukan Islam.

Dari tulisannya dan penafsiran tersebut Tun Salleh tidak menuntut identifikasi Melayu dengan Islam dengan kefahaman terhadap Islam yang cerah (enlightened), tinggi dan mendalam. Jika umat Islam tidak mahu Islam tercemar dengan aspek-aspek negative bangsa Melayu maka makna identifikasi tersebut mestilah diperkayakan. Identifikasi baru mestilah dengan tafsiran Islam yang universal, rasional, kosmopolitan, inklusif dan toleran. Masalah akan timbul, seperti yang berlaku hari ini, apabila identifikasi tersebut adalah identifikasi Islam dengan sentiment sempit , perkauman dan asabiah (chavanisme) Melayu.

Apabila Islam diturunkan ke masyarakat Arab antar mesejnya adalah untuk menghapuskan asabiah atau perkauman sempit, dan mengajak manusia keluar dari kempompong suku-suku kepada keadilan sejagat. Dan dalam sejarahnya di Alam Melayu Islam juga membawa tradisi intelektual, rasionalisma, intelektualisme di Asia Tenggara sebelum datangnya liberalisma dan rasionalisme sebelum kedatangan Inggeris dan Belanda.

Dalam mengurus sebuah negara majmuk dan kosmopolitan dimana Islam adalah agama persekutuan maka kita memerlukan tafsiran Islam yang tinggi dan mendalam, tafsiran yang merujuk kepada sejarah dan pengalaman kerohanian yang kaya dan intelektual yang segar, Islam yang majmuk, luas, kosmopolitan, rasional dan toleran. Tafsiran ahli-ahli falsafah seperti Ibn Rushd yang menegaskan keharmonian antara wahyu dengan akal dan tafsiran mistik seperti Jalaluddin Rumi dan Muhyiddin Ibn Arabi sungguh relevan hari ini dalam berdepan dengan masyarat kepelbagaian agama dan kaum.

Dilema Melayu, sekadar meminjam tajuk buku Tun Mahathir tetapi saya menolak seluruh isinya, dizaman melonjaknya semangat perkauman dan agama adalah: Apakah ‘complete identification of religion with race’ itu merupakan identifikasi Islam dengan ideology sempit ketuatan Malay ; atau ideologi sempit itu disemak dan diukur dengan criteria al-Qur’an?

Setiap orang Islam perlu berdepan dan sentiasa dicabar oleh ayat-ayat berikut:


Wa ma qadarullaha Haqqan Qadru al-An’am: 91 yang bermaksud “Dan tiadalah merekah menghormati Allah sesuai dengan perhormatan yang sebenarnya.” Ayat ini mencela mereka yang memberikan anggapan yang salah terhadap Tuhan, menggunakan nama Tuhan untuk bersikap tidak adil, untuk membeci kaum lain dan mereka yang berlainan agama.
Walau shaa Allah lija’al annas ummatan wahidatan Mai’dah: 48 yang bermaksud: “Dan kalau Allah menghendakki nescaya Ia menjadikan kamu satu umat.” Ayat ini menegaskan bahawa kepelbagai agama, kaum adalah kehendak Tuhan.


Dari perspektif ini cabaran sebenar kepada gabungan dan klusi asabiah Melayu dengan Islam konservatif bukan datangnya dari Islam liberal, atau faham pluralisme liberal moden. Ia datang dari al-Qur’an sendiri.

Maka disinilah saya melihat pertemuan idea-idea liberal dengan Islam yang ditafsirkan secara luas, bukan tafsiran yang bergantung kepada pemikiran Barat, tetapi tafsiran yang sudah ada dalam tradisi Islam itu sendiri tetapi telah dilupakan.

Di awal tadi saya menyebutkan bahasa Perlembagaan Persekuatan adalah satu dokumen liberal, atau hasil dari perjuangan liberal. Apakah inti perjuanga liberal itu sendiri. Saya kutip rumusan pemikir liberal semasa John Gray: ““it is individualist, in that it asserts the moral primacy of the person against any collectivity; egalitarian, in that it confers on all human beings the same basic moral status; universalist, affirming the moral unity of species; and meliorist, in that it asserts the open-ended improvality, by the use of critical reason, of human life.” (John Gray Liberalism page 86).

Mutatis mutandis saya tidak melihat ini sebagai bertentangan dengan Islam. Bagi saya dalam konteks Malaysia perjuangan Islam yang konsmopolitan adalah untuk memperkukuh dan memperkasakan peruntukan-peruntukan dalam bahagin Kedua Perlembagaan Persekutuan, iaitu peruntukan-peruntukan tentang kebebasan asasi.

Perlembagaan itu wujud, berfungsi kerana wujudnya pendapat awam yang mendukungnya. Bahagian kedua, iaitu tentang kebebasan asasi, ini semakin lemah tahun demi tahun kerana tidak ada wacana tentang kebebasan. Tatkala Malaysia lebih “liberal” dan “sekular” tidak ada wacana atau discourse tentang kebebasan. Bahkan golongan sekular itu lebih nasionalis sifat dan pemikirannya dari liberal. Maka wacana yang mendominasi adalah wacana tentang Negara. Saya telah berumur 50 tahun saya belum membaca satu wacana tentang kebebasan dari rakyat Malaysia. Wacana yang pertama adalah “The Passion for Freedom” yang ditulis oleh Anwar Ibrahim dari penjara. Maka pejuangan untuk meluaskan kebebasan – agama, politik dll – harus dimulai dengan wancana tentang kebebasan.

Dan wacana ini harus berjalan dalam suasana yang yakin, bukan dalam suasana takut dan tidak selamat, dalam suasana objetif bukan partisan: Kerana Confucius berkata dalam The Great Learning (Ta Xue): “If the person is moved by passion, he will not achieve correctness; if he is moved by fear, he will not achieve correctness; … if he is moved by sorrow and distress, he will not achieve correctness.”

Terima kasih.Perlembagaan, Kebebasan dan Kosmopolitanisme



Biar saya mulakan dengan membuat pertimbangan kritis terhadap pandangan Tun Salleh Abbas. Saya menyanjung Tun Salleh dalam perjuangannya mempertahankan kebebasan institusi kehakiman dari cengkaman pihak eksekutif. Tetapi saya agak kritikal dan sangsi dengan beberapa aspek tafsiran beliau terhadap perlembagaan. Meskipun tafsiran beliau tatkala menjadi Ketua Hakim Negara mempunyai kekuatan undang-undang saya percaya Perlembagaan juga boleh ditafsirkan dari sudut-sudut lain, misalnya dari perspektif sejarah, dari sudut falsafah dan sebagainya.

Pada saya Perlembagaan Persekutuan adalah satu dokumen liberal. Maksud saya adalah: Perlembagaan Persekutuan ada buah atau hasil dari perjuangan liberal, iaitu perjuangan manusia untuk menamatkan, atau sekurang-kurangnya mengurangkan, kejahatan yang berpunca dari pemerintah. Dalam pemikiran liberal kerajaan atau pemerentahan adalah kejahatan yang perlu, necessary evil. Kata Thomas Paine dalam risalah yang bertajuk Common Sense: “Society is produced by our wants, and government by our wickedness …. Society in every sense is a blessing, but government in its best state is but a necessary evil.”

Ketika gerakan liberal muncul di abad ke-17 perjuangannya adalah untuk menamatkan kuasa mutlak pemerintahan sistem beraja. Pemikiran ketika itu adalah raja memerintah secara mutlak kerana mandat yang diberikan oleh Tuhan – the Divine Rights of King. Ideologi ini disanggah oleh John Locke melalui Two Treatises on Civil Government. Menurut Locke apabila raja zalim rakyat berhak untuk bangun memberontak. Maka muncul perlembagaan, meskipun tidak bertulis, untuk membatasi kuasa raja. Selepas itu semua Negara-negara mempunyai perlembagaan bertulis untuk meletakkan batas-batas kepada pemerintah. Ada ruang yang tidak boleh disentuh oleh pemerintah seperti ruang peribadi, ada yang terdapat dalam minda sesaorang dan apa yang dipercayai oleh sesaorang.

Idea asas kepada perlembagaan adalah constitutionalism atau keperlembagaan, iaitu dengan membataskan kuasa pemerintah maka kebebasan rakyat akan terjamin, dan rakyat terpelihara dari kezaliman yang datangnya dari pemerintah. Kebebasan beragama, kebebasan bersuara, bergerak dan berhimpun adalah idea-idea yang terhasil dari perjuangan liberal, dan semua unsur-unsur in terdapat dalam perlembagaan kesemua negera-negara moden termasuk Malaysia.

Mungkin kerana sedar bahawa Perlembagaan Persekutuan adalah satu dokumen liberal maka Tun Salleh yang ketika itu Ketua Hakim Negara menulis satu rencana bertajuk “Traditional Elements of the Malaysian Constitution” sebagai rencana pertama kepada sebuah buku bertajuk The Constitution of Malaysia: Further Perpectives and Development yang merupakan kumpulan rencana untuk menghurmati Tun Mohamed Suffian.

Lima unsur disebut oleh Tun Salleh sebagai tradisional: Kesultanan, Agama Islam, Bahasa Melayu dan Kedudukan Istimewa Melayu. Secara sekali imbas perkara ini boleh diterima. Tetapi kerana saya telah berumur 50 tahun, dan lebih tua dari Kemerdekaan maka saya ingin meneliti secara kritis pandangan Tun Salleh. Pertama konsep tradisi itu sendiri. Sejauh mana kita perlu menoleh kebelakang dalam sejarah masyarakat untuk dapat kita merumuskan unsur tradisi tersebut. Apakah sehinga abad ke-19 tatkala masyarakat Melayu di mana institusi politik dan sosialnya paling lemah? Apakah imej masyarakat Melayu tradisi itu hanya terbatas kepada abad ke-19 atau masyarakat Melayu yang ditemui oleh Raffles, Francis Light, J W W Birch dan seperti yang ditulis oleh Frank Swettenham yang menggambar orang Melayu sebagai malas, bodoh dan bahlul.?

Dari sejarah pembentukan kerajaan Melaka di abad ke-15 merupakan detik penentu dalam sejarah Negara. Apakah amalan kesultanan Melayu Melaka di abad ke-15 tidak boleh dijadi sebagai unsur tradisi? Melaka sebelum jatuh ke tangan Portugis adalah salah satu kota terbesar di dunia. Dan ia adalah sebuah kota cosmopolitan. Terdapat 22 bahasa yang dituturkan, sebuah kota pelabuhan perdagangan bebas. Pemerintahnya terdiri dari pelbagai kaum, dan dengan penyertaan meluas masyarakat India (khususnya Gujerat), Arab dan Cina dalam perdagangan. Mengapakah sifat kosmopolitanisme ini tidak dilihat sebagai salah unsur tradisi.

Apabila kita menyebut tradisi politik Melayu kita harus sedar bahasa tradisi tersebut tidak monolithic, tidak jumud. Tradisi tersebut juga dinamik, kosmopolitan, khususnya dalam zaman Kesultanan Melayu Melaka. Aspek kosmopolitanisme masyarakat Melaka di abad ke-15, dan pemahaman dan apresiasi semula diri sejarah kita (our historical self) ini, sungguh relevan bagi kita hari ini. Saya juga melihat perkara ini sebagai satu unsur penting dalam memahami dan mentafsir Perlembagaan Persekutuan sebagai satu dokumen yang bernyawa ( a living document).

Saya juga berpendapat dengan pandangan Tun Salleh tentang agama Islam memerlukan penjelasan dan pengamatan. Beliau menulis: “The complete identification of religion with race is so fundamental to Malay thought that the religion of Islam has become an important constituent element in the legal and constitutional definition of ‘Malay’.” Cuba kita fikirkan ungkapan seperti “the greatest Malayan” – Melayu paling agung; “the pride of the Malay” – kebangaan bangsa Melayu; ungkapan ini digunakan oleh rakyat Filifina kepada wira mereka Jose Rizal, seorang Katolik. Begitu juga rumpun Melayu yang lebih besar, iaitu bangsa Indonesia yang juga kebetulan mempunyai jumlah rakyat yang beragama Islam yang terbesar di dunia , tetapi identifikasi kaum dengan agama itu tidak berlaku.

Tun Salleh juga menulis: “To be a Malay one must be a Muslim, although he may not be a pracitising or devout Muslim.” Beliau begitu tegas sekali mengatakan identifikasi Islam dengan MelayuDari perspektif Islam dan kepentingan menjaga imej kesucian dan tetapi meletakkan penghayatan Islam itu pada tahap minima. Bahkan penghayatan tidak perlu, cukup hanya pada nama. Islam ini menimbulkan beberapa persoalan. Imej Islam di Malaysia, khususnya dikalangan bukan Islam, akan bergantung kepada imej Melayu di kalangan orang-orang bukan Islam.

Dari tulisannya dan penafsiran tersebut Tun Salleh tidak menuntut identifikasi Melayu dengan Islam dengan kefahaman terhadap Islam yang cerah (enlightened), tinggi dan mendalam. Jika umat Islam tidak mahu Islam tercemar dengan aspek-aspek negative bangsa Melayu maka makna identifikasi tersebut mestilah diperkayakan. Identifikasi baru mestilah dengan tafsiran Islam yang universal, rasional, kosmopolitan, inklusif dan toleran. Masalah akan timbul, seperti yang berlaku hari ini, apabila identifikasi tersebut adalah identifikasi Islam dengan sentiment sempit , perkauman dan asabiah (chavanisme) Melayu.

Apabila Islam diturunkan ke masyarakat Arab antar mesejnya adalah untuk menghapuskan asabiah atau perkauman sempit, dan mengajak manusia keluar dari kempompong suku-suku kepada keadilan sejagat. Dan dalam sejarahnya di Alam Melayu Islam juga membawa tradisi intelektual, rasionalisma, intelektualisme di Asia Tenggara sebelum datangnya liberalisma dan rasionalisme sebelum kedatangan Inggeris dan Belanda.

Dalam mengurus sebuah negara majmuk dan kosmopolitan dimana Islam adalah agama persekutuan maka kita memerlukan tafsiran Islam yang tinggi dan mendalam, tafsiran yang merujuk kepada sejarah dan pengalaman kerohanian yang kaya dan intelektual yang segar, Islam yang majmuk, luas, kosmopolitan, rasional dan toleran. Tafsiran ahli-ahli falsafah seperti Ibn Rushd yang menegaskan keharmonian antara wahyu dengan akal dan tafsiran mistik seperti Jalaluddin Rumi dan Muhyiddin Ibn Arabi sungguh relevan hari ini dalam berdepan dengan masyarat kepelbagaian agama dan kaum.

Dilema Melayu, sekadar meminjam tajuk buku Tun Mahathir tetapi saya menolak seluruh isinya, dizaman melonjaknya semangat perkauman dan agama adalah: Apakah ‘complete identification of religion with race’ itu merupakan identifikasi Islam dengan ideology sempit ketuatan Malay ; atau ideologi sempit itu disemak dan diukur dengan criteria al-Qur’an?

Setiap orang Islam perlu berdepan dan sentiasa dicabar oleh ayat-ayat berikut:


Wa ma qadarullaha Haqqan Qadru al-An’am: 91 yang bermaksud “Dan tiadalah merekah menghormati Allah sesuai dengan perhormatan yang sebenarnya.” Ayat ini mencela mereka yang memberikan anggapan yang salah terhadap Tuhan, menggunakan nama Tuhan untuk bersikap tidak adil, untuk membeci kaum lain dan mereka yang berlainan agama.
Walau shaa Allah lija’al annas ummatan wahidatan Mai’dah: 48 yang bermaksud: “Dan kalau Allah menghendakki nescaya Ia menjadikan kamu satu umat.” Ayat ini menegaskan bahawa kepelbagai agama, kaum adalah kehendak Tuhan.


Dari perspektif ini cabaran sebenar kepada gabungan dan klusi asabiah Melayu dengan Islam konservatif bukan datangnya dari Islam liberal, atau faham pluralisme liberal moden. Ia datang dari al-Qur’an sendiri.

Maka disinilah saya melihat pertemuan idea-idea liberal dengan Islam yang ditafsirkan secara luas, bukan tafsiran yang bergantung kepada pemikiran Barat, tetapi tafsiran yang sudah ada dalam tradisi Islam itu sendiri tetapi telah dilupakan.

Di awal tadi saya menyebutkan bahasa Perlembagaan Persekuatan adalah satu dokumen liberal, atau hasil dari perjuangan liberal. Apakah inti perjuanga liberal itu sendiri. Saya kutip rumusan pemikir liberal semasa John Gray: ““it is individualist, in that it asserts the moral primacy of the person against any collectivity; egalitarian, in that it confers on all human beings the same basic moral status; universalist, affirming the moral unity of species; and meliorist, in that it asserts the open-ended improvality, by the use of critical reason, of human life.” (John Gray Liberalism page 86).

Mutatis mutandis saya tidak melihat ini sebagai bertentangan dengan Islam. Bagi saya dalam konteks Malaysia perjuangan Islam yang konsmopolitan adalah untuk memperkukuh dan memperkasakan peruntukan-peruntukan dalam bahagin Kedua Perlembagaan Persekutuan, iaitu peruntukan-peruntukan tentang kebebasan asasi.

Perlembagaan itu wujud, berfungsi kerana wujudnya pendapat awam yang mendukungnya. Bahagian kedua, iaitu tentang kebebasan asasi, ini semakin lemah tahun demi tahun kerana tidak ada wacana tentang kebebasan. Tatkala Malaysia lebih “liberal” dan “sekular” tidak ada wacana atau discourse tentang kebebasan. Bahkan golongan sekular itu lebih nasionalis sifat dan pemikirannya dari liberal. Maka wacana yang mendominasi adalah wacana tentang Negara. Saya telah berumur 50 tahun saya belum membaca satu wacana tentang kebebasan dari rakyat Malaysia. Wacana yang pertama adalah “The Passion for Freedom” yang ditulis oleh Anwar Ibrahim dari penjara. Maka pejuangan untuk meluaskan kebebasan – agama, politik dll – harus dimulai dengan wancana tentang kebebasan.

Dan wacana ini harus berjalan dalam suasana yang yakin, bukan dalam suasana takut dan tidak selamat, dalam suasana objetif bukan partisan: Kerana Confucius berkata dalam The Great Learning (Ta Xue): “If the person is moved by passion, he will not achieve correctness; if he is moved by fear, he will not achieve correctness; … if he is moved by sorrow and distress, he will not achieve correctness.”

Terima kasih.
Ini adalah teks ucapan saya di Forum Merdeka "Kemerdekaan untuk Apa tanpa Perelembagaan" anjuran Jawatankuasa Hak-Hak Madani Dewan Perhimpunan Cina Selangor pada 30 Ogos lalu.

Wednesday, August 23, 2006

Friday, August 18, 2006

Gurindam Illium 7

Akilis, raja pecut, berkata lagi menjawab soalan:
"Cakap, tafsirkan apa yang dalam ilmumu, dan jangan takut.
Kalkas, dengan nama Apollo kesayangan Zeus, dewa yang
kau sembah bila menafsir iradah dewata ke atas Danaan,
selagi aku hidup di muka bumi, selagi aku melihat cahaya surya,
tiada tangan manusia yang akan menyentuh kamu,
tiada seorangpun dari kalangan Danaan, tidak juga
Agamemnon, Agamemnon yang mendakwa dirinya teragung
di kalangan Akia, kalau dia yang kamu maksudkan."

Fusus al-Hikam 1

Saya: Shen, sudah tiba masanya kamu belajar Fusus al-Hikam oleh Ibn Arabi. Yang jumud dan sempit akalnya kamu tinggalkan saja dibelakang.

Shen Yee Aun: Dari mana nak belajar fusus al hikam? apa yang terkandung dalam yang boleh saya pelajari ?

Fusus al-Hikam adalah antara buku yang paling sukar difahami. Saya hingga sekarang masih bergelut untuk memahaminya. Saya sering cemburu dengan mereka yang mahir membaca Arab. Bagi saya kalau sudah mahir membaca Arab, selain dari menikmati novel-novel Najib Mahfouz dalam bahasa asal, boleh memahami kitab-kitab Ibn Arabi. Sangkaan saya meleset. Beberapa tahun lalu saya di Amman menjadi tamu kepada anak-anak muda yang mengikuti cabang kepada tarikat Shadhali. Saya bertanya adalah mereka mengadakan kumpulan untuk membaca Fusus al-Hikam atau Futuhat al-Makkiah . "Kami Arab, tetapi kami tidak faham isi yang dituliskan oleh Ibn Arabi. Kami memahami Ibn Arabi melalui terjemahan Inggeris oleh William Chittick. Setelah membaca Chittick baru kami famahi apa yang ditulis oleh Sheikh al-Akbar dalam bahasa Arab." Begitu kata mereka. Saya berasa lega kefahaman saya tentang Ibn Arabi juga melalui teks-teks syeikh itu yang telah diterjemahkan ke bahasa Inggeris.

Monday, August 07, 2006

Sekularisme Shah Rukh Khan

"Setiap Muslim (India) seharusnya berbangga hakikat mereka hidup dalam masyarakat yang paling sekular," kata the badshah of Bollywood dalam satu wawancara dengan harian The Times of India ( Ogos 4).
SRK ditanya: "Muslim kelas menengah hari ini merasakan mereka terasing dari masyarakat." "Tidak benar," jawab beliau. "Kita hidup dalam negara di mana saya tidak fikir kita perlu (terasa terasing). Saya tidak fikir orang Islam negara ini punya alasan (untuk menjadi pengganas.)"
"Biar saya katakan begini, biar saya katakan kepada dunia, menjadi seorang pengganas bukan bermakna menjadi seorang muslim. Saya dengar ada pengebom mahu menjadikan saya sasaran. Mengapa mereka mahu mencederakan saya, saya juga seorang Islam. Sebenarnya mereka mahu mencederakan India. Keganasan adalah jenayah terhadap negara."

Friday, August 04, 2006

Kasihani Bangsa Itu

Kasihani bangsa itu yang penuh akidah tapi kosong agama.
Kasihani bangsa itu yang memakai baju bukan dari kain tenunannya, memakan
roti gandum bukan panennya, dan meminum arak yang tidak mengalir dari kebun
anggurnya.
Kasihani bangsa itu yang meraikan samseng sebagai wira, yang menyangka kilau
penakluk sebagai laba.
Kasihani bangsa itu yang membenci nafsu dalam mimpinya, tetapi menurutinya kala
kala jaganya.
Kasihani bangsa itu yang tidak mengangkat suara kecuali masa mengiringi jenazah, tidak
bercakap bangga kecuali dalam kehancuran, dan tidak akan bangun melawan kecuali
apabila leher telah dicelah mata kapak dan kayu sembelih.
Kasihani bangsa itu yang pemimpinnya seekor musang, filasufnya tukang silap mata, dan
seninya hanya menampel dan meniru.
Kasihani bangsa itu yang menyambut ketua baru dengan nafiri, dan mengucapkan selamat
tinggal dengan ejekan, hanya untuk menerima si pengantinya dengan nafiri lagi.
Kasihani bangsa itu yang orang bijaknya pekak kerana tua dan orang kuatnya masih
dalam buaian.
Kasihani bangsa yang terpecah kepada cebisan, dan setiap cebis mengaku dirinya
sebagai satu bangsa. --- Khalil Jibran

Monday, July 31, 2006

Selok Hom

Lamo bonar den tak jumpo Hom. Lopes kawin, den raso, den samo dio dah longgar. Sodap boto kawin. Den raso kuek jadi ketuo rumah, buek den sibok bonar. Si Hom hawau tu memang tak suko campo oghang. Maso ni dio duduk rumah kito dokek Lorong Bakar, kojo dia membelek buku tuo, isap madat, angan mat Jonin. Lopes tu hati dio suko tengok jonayah. Abih hati porut dio ikut kosan jonanyah. Dia abih solosaikan somua kojo yang mat kampau tak buleh buek. Ado yo maso den dongar corito dio; dio kono pogi Odessa, pasal kes bunoh Trepoff, abih dio bukak cerito adik boradik Atkinson dokek Trincomalee, dapek dio solosaikan kes yang momoningkan kopalo dirajo Bolando.

Sunday, July 30, 2006

Gurindam Illium 6

Begitu kata Akilis, lalu dia duduk, dan Kalkas
lantas bangun. Kalkas putera Testor, paling
pintar menilik makna burung yang terbang.
Dia tahu yang lalu, yang sekarang dan yang
bakal datang, pendita yang memandu
kapal-kapal Argos sampai ke Troy, memandu
dengan tenungan yang dikurniakan Apollo.
Sang pendita, demi nyawa bala tentera,
mula berkata:
"Akilis, kesayangan Zeus.....
tuan mahu tahu kenapa Apollo, Pemanah
yang membunuh dari jauh itu murka? Akan
kuberitahu. Semuanya. Sebelum itu, mari
kita bikin janji, tuan bersumpah akan
melindungiku dengan segenap tenagamu.
Dengan kata dan lenganmu.
Kerana aku, apa yang aku kata, akan bikin sesaoang
marah, aku nampak sekarang, orang kuat yang merajai
orang-orang Argos, orang yang mesti dipatuhi
tentera Akia .... raja yang perkasa, bila memurkai
orang biasa, binasa.
Kalaupun dia mengawal murka hari ini, dia menyimpan
api amarah dalam sekam dadanya, dan satu
hari akan menyala melimpah keluar.
Fikirkan Akilis! Sanggupkah tuan melindungi aku?

Friday, July 21, 2006

Gurindam Illium 5

Sembilan hari hujan panah dewa membunuh.
Dihari kesepuluh Akilis mengumpul semua tentera,
tekadnya mendapat ilham dari Hera, dewi berlegan putih,
yang sayangkan perwira Akia yang jatuh kecundang.
Akilis, raja pecut, bangun berkata: "Putera Atreus,
ku kira kita sudah tewas, perang bertahun-tahun ini
sudah habis. Elokllah kita belayar pulang, kalau kita
terselamat dari maut. Perang dan penyakit bersatu
membantai kita. Sebelum itu, ya, elok kita tanyakan dulu,
soalkan pada ahli firasat yang mahir menafsir mimpi --
ya, mimpi juga datang dari Zeus -- pendita yang boleh
memberitahu kenapa Apollo murka begini, mungkinkah
ada janji yang diingkari, atau kita cuai dalam ibadat.
Bisakah paduka Dewa menerima korban kambing jantan
dan asap harum daging panggang, makanya melepaskan
kita dari bala ini."

Wednesday, July 19, 2006

Gurindam Illium 4

Orang tua itu kecut mengigil. Dia beredar, mematuhi titah,
menapak dalam sepi di gigi air pantai,
bersama deru ombak memukul tebing pasir.
Dan dari jauh, dalam hening pilunya,
sang pendita mengangkat doa, merayu berulang kali,
pada paduka Apollo, putera Leto yang rambutnya
lembut bagai sutera: "Paduka Apollo, dengarlah!
kau dewa pemilik busur perak, Kryse
dan Killa yang kudus dalam tanganmu, berkuasa
atas Tenedos , Smintheus, penghulu segala bala!
Kiranya sembahanku, rumah ibadat yang ku bina,
bersama tulang lembu dan kambing yang sedia
dibakar menyenyukkan hatimu, kabulkan doaku.
Timpakan bala pada tentera Danaan, biar panahmu
membayar air mataku!'
Doa itu terbang ke udara dan Phoebos Apollo mendengarnya.
Hatinya terbakar, dia turun dari puncak Kayangan, bersama
busur dan bekas anak panah berselendang di bahu.
Paduka Dewa bertempek murka, anak-anak panah berlaga
di bahunya. Dia turun bagaikan malam tiba, dan di depan kapal
perang lututnya mencecah pasir. Apollo melepaskan anak
panah dari busur peraknya, dan talinya berdesing ganas.
Kaldai tumbang, kemudiannya anjing jadi sasaran. Apollo
melepaskan anak panah yang menembusi manusia, jasad
bergelimpangan, dan api menyala tanpa henti, siang dan malam
membakar timbunan mayat.

Nota: Tenedos=nama sebuah pulau; Smintheus adalah salah satu gelaran Apollo, maka Apollo Smintheus (dewa tikus); Kryse adalah nama Yunani bagi sebuah pulau emas; Danaan, Argif dan Akia adalah pangilan-pangilan kepada tentera Greek yang menyerang kota Troy. Phoebos adalah salah satu nama Apollo yang bermaksud "bercahaya"

Tuesday, July 18, 2006

"Sentil"


karya Agus Suwage.

Monday, July 17, 2006

Gurindam Illium 3



Bala tentera Akia serentak berteriak setuju:"Hormati sang pendita, dan terimalah tebusannya." Namun hati Agamemnon jengkel, raja itu mengusir pendita dengan herdikan: "Orang tua, Janganku lihat lagi bayang-bayangmu di kapal ini. Sekarang!Jangan merayau-rayau. Esok, jangan datang lagi. Tongkat dan pita dewa tidak akan menyelamatkan kamu. Anak perempuanmu? Aku tidak akan lepaskan. Dia akan bersamaku, menjadi tua di rumahku, di Argos yang jauh dari rumah bapanya. Akan kujadikan abdi, keluar masuk bilek menenun, akan kupaksa tidur di sisiku."Kau berambus sekarang. Jangan menggoda marahku, kalau kau mahu hidup."

Tali gantung


Dari muzeum apartheid di Soweto. Setiap tali gantung mewakili seorang tahanan politik yang dihukum mati semasa rejim apartheid.

Sunday, July 16, 2006

Amok Akilis 2

Sudahku katakan Zidane itu adalah kapten pasukan bola Islam liberal. Maka kekalahannya saya sambut dengan laungan "Takbir!" Kemudian saya diberitahu tandukan gemilangnya juga laksana amok seorang Akilis. Maka saya mula cuba memahami Zidane seperti saya berterusan ingin memahami watak Akilis dalam Gurindam Illium. Kerana Zidane datang dari negeri pascamodern dan mengeksportnya keseluruh dunia (pengimport paling besar adalah Amerika) maka tindakan Akhileus Zidane dilihat dari pelbagai narratif. Terima kasih kepada Rastom yang memberikan pautan.

Saturday, July 15, 2006

Gurindam Illium 2

Dewa mana yang bikin mereka sengit bersengketa?
Apollo, putera Zeus bersama Leto. Dia mengirim bala celaka
pada tentera, kerana marah pada sang raja -- maka manusia
diragut maut selepas Agamemnon menolak rayuan
pendita Apollo. Kraises mendatangi kapal perang Akia
mahu menebus anak perempuannya, membawa hadiah
tak ternilai, dan menjulang tinggi tongkat emas
berikatkan pita dewa Pemanah dari jauh.
Si bapa merayu pada tentera Akia, merafak sembah
pada kedua jeneral, putera Atreus: "Agamemnon, Menelaus dan
orang Argos yang berhati waja! Muga Dewata di Kayangan
memberi kalian kota Priam untuk ditakluki, kemudian tuan-tuan
selamat pulang. Cuma, kembalikan puteri buah hatiku,
nah, terimalah hadiah dan tebusan ini. Muliakan Apollo,
putera Zeus, dewa yang memanah dari jauh!"

Friday, July 14, 2006

Amok Akilis


Μηνιν αεδε, θεα (Menin aeide, thea,) begitulah Homer (sebutan Yunaninya Omeros) memulakan puisi epiknya yang bernama Ιλιαδοζ (Iliados). Dalam bahasa Inggeris dikenali sebagai the Illiad, dan dalam bahasa tersebutlah saya mula menikmati epik itu. Iliados bermaksud tentang Ilion. Saya menggunakan sebutan Inggeris iaitu Illium. Menin bermaksud amarah, berang, tetapi saya menterjemahkannya sebagai "amok," iaitu berang yang membawa hilang pertimbangan. Inilah yang berlaku kepada Akilis, seorang perwira yang dihormati dan disanjungi. Dan saya diingatkan oleh Christopher Merril bahawa kelakuan wira bola Zidane ketika menanduk dada Materezzi adalah laksana amok Akilis. Seperti yang diulaskan kata-kata menghina Materezzi adalah salah. Tetapi Zidane tidak boleh hilang pertimbangan. Akilis terasa dihina oleh tindakan Agamemnon, ketua seluruh angkatan tentera Akia (Greek). Aeide bermaksud nyanyikanlah, thea adalah dewi. Maka Iliados adalah syair, lagu, dendang, nyanyian tentang Ilion. Saya memilih "gurindam" dan Ilion, untuk memadankan dengan "gurindam" saya menggunakan sebutan Inggeris "Illium" -- Gurindam Illium.
Paduka Dewi, nyanyikanlah: kisah amok Akilis putera Peleus... saya mengubah ejaan Achilles kepada Akilis untuk mengelakkan salah sebutan. Ada kawan-kawan yang menyebutnya dengan Acyillis. Maka saya eja mengikut sebutan Melayu. Tetapi Akilis dalam bahasa Yunani adalah Akhilleus. Bahkan dalam beberapa terjemahan Inggeris (Fitzgerald dan Lattimore) Akilis dieja dengan Akhilleus. Tetapi terjemahan Robert Fagles, bagi saya yang terbaik, mengekalkan Achilles. Saya lebih suka dengan sebutan Inggeris maka saya kekalkan Achilles dengan memelayukan ejaannya.

Thursday, July 13, 2006

Selamat datang duka

Majabin Mohamed, 13, disamping suaminya Mohamad Fazal, 45, sejak enam bulan lalu. Perempuan yang memegang bayi adalah isteri pertamanya. Remaja jelita ini dikahwinkan sebagai tebusan kepada hutang perjudian.

Aduh, malangnya!


Percayakah kita perempuan cantik ini, Ghulan Haidar, hanya berumur 11 tahun. Dia bercita-cita menjadi guru. Di diberhentikan oleh keluarga dan dipaksa kawin dengan lelaki disebelahnya, Faiz Mohamad yang berumur 40 tahun. Kenapakah perempuan secantik ini tidak dilahirkan di Kuala Lumpur?

Wednesday, July 12, 2006

Gurindam Illium 1

Menin aide, Thea, Peleiado Akhileos
oulomenen, he muri Akhios alge etheke,
pollas d' ipthimous psukas Aidi proiapsen
heroon, autous de eloria teukhe kunessin
oionoisi te pasi, Dios de eteleieto boule,
esse ou de ta prota diasteten erisante
Atreides te anaz androon kai dios Akhilleos.

Paduka Dewi, nyanyikanlah: kisah amok
Akilis putera Peleus, dan bala pedih yang
menimpa tentera Akia, ribuan nyawa,
jiwa-sukma wira perkasa, terhumban ke
neraka, dan jasad mereka jadi santapan
anjing dan gagak -- maka terkabullah
takdir Zeus. Mulakan, paduka Dewi, pada kala
pecah sengketa antara putera Atreus,
pengeran semua manusia, dengan
Akilis yang gemilang bagai dewa.

Friday, June 23, 2006

Ulang baca


Saya selalu ingin lari dari Timur Tengah. Kenapa semua perhatian kita perlu ke rantau tersebut. Sebagai umat Islam mengapakan Islam perlu mengikut tafsiran pengalaman Timur Tengah? Jumlah umat di Asia Tenggara adalah lebih besar. Apakah yang disumbangkan oleh umat Islam Arab di zaman moden? Selain dari Mohammad Abduh ianya hanya kisah fanatisme, kesempitan, keterbelakangan, bila berperang kalah dah bila berunding ditipu.
Tetapi rantau itu terlalu menarik perhatian kerana terdapat jamak wacana dan pelbagai tafsiran and penafsiran semula. Isu Palestin sendiri mempunyai pelbagai tafsiran. Saya telah membaca beberapa buku dari perspektif Israel. Membaca memoir Yitzak Rabin, dan telah mengumpul memoir Dayan, Gola Meir, Shimon Peres dan semuanya ditunggu untuk dibaca. Sedang membaca karya Avi Shlaim, ahli sejarah revisionist Israeal. Maka saya kembali kepada Edward Said yang semasa hayatnya sarja Palestin yang paling terkenal untuk mengimbangi perspektif.

Monday, June 19, 2006

Realisme Bani Hashim


Ini antara buku-buku yang saya beli di Amman baru-baru ini. Suatu ketika dahulu saya melihat Raja Hussein dari kaca mata nasional Arab, beliau sebagai tali barut Barat. Sejak beberapa tahun yang lalu pandangan saya mulai berubah dan saya mulai mempunyai pandangan yang positif terhadap beliau. Dia mewarisi politik datuknya Raja Abdullah, raja pertama Jordan. Raja Abdullah adalah putera kepada Sharif Hussein yang memimpin pemberontakan terhadap Turki (ketika itu Daulah Uthmaniah), pemberontakan yang dikelani dalam sejarah sebagah The Great Arab Revolt. Hasil dari pemberontakan itu Daulah Uthmaniah hancur dan Timur Tengah dibahagi-bahagikan kepada Inggeris dan Perancis, kuasa-kuasa Barat yang memenangi Perang Dunia Pertama. Tetapi yang mencetuskan idea pemberontakan terhadap Turki adalah Raja Abdullah, datuk kepada Raja Hussein. Mereka adalah suku Awn dari Bani Hashim. Dalam percaturan politik Timur Tengah khususnya dalam menghadapi kuasa Zionis dan kemudiannya negara Israel Raja Abdullah dan cucunya Raja Hussein mempunyai sikap pragmatis berbanding dengan sikap tidak realistik kuasa-kuasa Arab lain termasuk pemimpin-pemimpin Palestin. Akan saya tulis lagi.

Sunday, June 18, 2006

Konspirasi Zionis-satu pendedahan 15 (akhir)


Selepas Perang Dunia Kedua berakhir Protokol yang diharam dibeberapa buah negara Eropah mendapat nafas baru berikutan dengan penubuhan negara Israel. Edisi pertama dalam bahasa Arab terbit di Kaherah dalam tahun1951. Berikutan itu beberapa edisi lain dalam semua bahasa, termasuk Perancis, dibanyak negara Islam. Protokol digunakan untuk mengutuk "konspirasi Zionis". "Menurut penggunaansemula ini, sekiranya Arab yang berani dan bangga boleh ditundukkan oleh Yahudi yang selekeh dan penipu, itulah bukti wujudnya komplot antarabangsa yang disusun secara rahsia oleh golongan Zionis," terang Pierre-André Taguieff. "Protokol merupakan satu model reductionis visi anti Yahudi sedunia, satu visi moderniti dalam bentuk penaklukan sedunia. Rujukan terbuka terhdap Protokol terdapat hari ini, misalnya, dalam teks dan wacana Fron Keselamatan Islam (FIS) di Aljeria dan Hamas di Palestin", tambah penyelidik itu yang telah menyusun bibliografi edisi-edisi terbaharu dokumen palsu yang tidak mahu lenyap itu.

Bibliografi ini terus bertambah panjang dan tidak terbatas di negeri-negeri Arab. Teks ini diterbitkan semula di negera-negara bekas Komunis -ianya bebas dijual di Moscow- dan baru-baru ini dicetak dengan pengedaran meluas di India, Jepun dan Amerika Latin. Ianya tidak dijual dengan sembunyi-sembunyi seperti halnya di Eropah, sebaliknya di Buenos Aires dokumen itu dijual di kiosk-kiosk. Di negara-negara ini hayat teks ini tidak terjejas dengan tamatnya Perang Dunia Kedua, menunjukkan bahawa hasil plagiat itu tidak menghalangnya dari digunakan sebagai senjata melawan "Yahudi-Bolshevik." Ianya seperti kekuatan "Nostradamus antisémitik" yang kebal dari segala serangan rasional. Pierre-André Taguieff melihat di situ sebagai pengucapan paling berkesan "metos politik moden" tentang "penaklukan Yahudi": "Dari segi strukturnya — pendedahan rahsia Yahudi melalui satu karya rahsia yang bersandarkan — teks Protokol memenuhi keinginan penjelasan, memberikan makna kepada gerak Sejarah yang tidak dapat difahami. Ian memungkinkan gerak Sejarah difahami dengan menamakan satu musuh yang unik. Ia memberikan legitimasi kepada langkah pertahanan, segala tindakan terhadap musuh mutlak dan jahat, musuh yang menyamar dibelakang pelbagai topeng: demokrasi, liberalisme, komunisme, kapitalisme, republik dll. Kejayaan dan umur Protokol yang panjang adalah menganehkan. Ianya hanya satu dokumen yang dicipta khusus untuk intrik politik dalam istana Russia. Tetapi memandangkan kandungan teks tersebut bersifat umum maka ini memungkinkan ianya disesuaikan untuk semua konteks krisis, dimana makna peristiwa berubah dan tidak dapat dipastikan. Maka kegunaan semulanya yang berterusan."

Gambar: Novel grafik Will Eisner The Plot yang terbit tahun lalu memberikan narratif yang lengkap terhadap proses, motif, individu dan pihak yang terlibat dalam pembikinan Protokol. Karya ini akan menjadi rujukan definitif dan paling mudah dikunyah untuk memahami komplot pembinan dokument tersebut. Ia juga akan menjadi sebilangan novel grafik yang terangkat untuk mendapat perhatian pembaca sirius.

Konspirasi Zionis-satu pendedahan 14


Perang Dua Pertama, revolusi Russia dan kekacauan di Jerman seperti membenarkan ramalan dokumen palsu antisemetik itu: Eropah dan Russia yang terhumban dalam drama sejarah memberikan pengesahan teks tersebut, antaranya satu naskah dokument tersebut dijumpai dalam kamar permaisuri Tzar setelah seluruh keluarge Nicolas II disembelih. Fakta ini bagi golongan "Russia putih" yang antisemetik menjadi saksi kepada jenayah Yahudi-Boshevik. Bukti yang didedahkan oleh harian Time di London bahawa dokumen itu adalah palsu tidak menggugat nilai dan kedudukan Protokol dari dipersembahkankan di Eropah sebagai bukti wujudnya komplot Yahudi antarabangsa disepanjang tahun-tahun 1930an. Dokumen palsu itu dicetak dalam beberapa edisi dan tidak terbatas kepada organisasi antisemetik. Di Perancis, satu syarikat penerbitan terkenal, Grasset, menerbitkannya dalam tahun 1921 dan diulang cetak sehingga 1938. Di Amerika Syarikat, pembikin kereta, Henry Ford, yang percaya kesahihannya mencetak dan mengedarnya.

Propaganda Nazi mengeksploitasi dan mengedarkan Protokol. Dalam tanun 1923, Alfred Rosenberg menghasilkan satu kajian mengenainya, dan dalam Mein Kampf (1925), Adolf Hitler menulis "Protokol Pendita Zion — yang dinafikan sekeras-kerasnya dan dengan secara rasmi oleh orang Yahudi — menunjukkan dengan cara luar biasa wujudnya sekumpulan manusia yang memiliki dedikasi untuk melakukan kebejatan berterusan," dan menambah, di sana terdapat pendedahan jelas "bahawa ramai Yahudi boleh melakukan ini secara tidak mereka sedari." Apabila ditampuk kekuasaan dalam tahun 1933, pegawai Nazi yang bertanggjungjawab tentang propaganda ditugaskan untuk mengedar Protokol dan mempertahankan kesahihannya.
Gambar: Edisi Jerman Protokol dalam tahun 1930an.

Konspirasi Zionis-satu pendedahan 13


Mathieu Golovinski meneruskan hidup liciknya dengan berkhidmat kepada orang-orang berkuasa yang memerlukan bakatnya. Bila pulang ke Russia dia berkerja untuk Ivan Tcheglovitov, Menteri Keadilan, kemudian berkhidmat untuk Alexandre Protopopov yang kemudian menjadi Menteri Dalam Negeri dalam tahun 1916. Dia juga menerbitkan satu karya propaganda dalam tahun 1914, Buku Hitam Keganasan Jerman dengan menggunakan nama "Dr Golovinski". Dia selepas itu memperkenalkan dirinya sebagai doktor perubatan meskipun tidak memiliki sebarang diploma hasil dari pengajiannya di Paris.

Bagi seorang seperti Golovinski yang mahir berenang dalam laut bergelora jatuhnya kerajaan Tzar tidak melemahkan semangatnya. Dan dalam tahun 1917... kita menemukan beliau sebagai wakil Soviet dari Petrograd (Saint-Pétersburg) : Dr Golovinski diraikan sebagai seorang revolusioner, sebagai orang pertama dikalangan sebilangan kecil doktor Russia yang mendukung rampasan kuasa Bolshevik! Dengan menggunakan gelaran médecin rouge, (doktor merah)bintangnya menyerlah sebagai anggota Kommissar Rakyat tentang Kesihatan dan Kolej Ketenteraan-Kesihatan, iaitu sebagai tokoh kesihatan yang berpengaruh dalam rejim baru. Dia terlibat melancarkan generasi pengasas, iaitu ahli kepada organisasi untuk menjalankan indoktrinasi kepada golongan muda. Dia menjadi penasihat kepada Trotski dalam maklumat ketenteraan dan dalam tahun 1918 mengasaskan, dan menjadi pengarah, Institut Latihan Jasmani yang menjadi tapak semaian kepada juara-juara Soviét. Dia menjadi terkenal, tetapi tidak lama menikmati kuasa yang diperolehinya. Dia mati dalam tahun 1920, saat dimana Protokol mula dikenali diseluruh dunia melalui terjemahan dalam bahasa-bahasa Inggeris, Perancis dan Jerman.
Gambar: Edisi Inggeris Protokol, tahun 1978.

Saturday, June 17, 2006

Konspirasi Zionis-satu pendedahan 12


Sasaran penciptaan dokumen palsu yang diarahkan oleh Ratchkovski bagi Golovinski melakukannya adalah seorang pembaca tunggal: Tzar. Bahkan Ratchkovski kelihatan merangka satu helah. Dia mengetahui Serge Nilus, seorang mistik, akan menjadi "confessor" (padri yang mendengar pengakuan dosa sesaorang) baru kepada Tzar, maka manuskrip palsu antisemetik itu akan disampaikan kepada Nicolas II melalui perantaraan sulit tersebut. Menurut Mikhail Lépekhine, Golovinski menulis Protokol di Paris dipenghujung 1900 atau dalam 1901. Dia menggunakan risalah anti Napoléon III yang ditulis oleh Maurice Joly. Malangnya strategi ini tergendala apabila apabila Serge Nilus tidak dilantik sebagai confessor. Tetapi dia menerbitkan teks tersebut dalam tahun 1905 sebagai lampiran kepada salah satu karyanya, Yang Besar dalam yang Kecil. Dajal adalah satu kemungkinan politik yang bakal berlaku tidak lama lagi. Buku ini menjelaskan bahawa sejak berlakunya Révolusi Perancis satu proses menuju kehancuran telah bermula yang membuka jalan kepada kepunculan sang Dajal.

"Penulisan Protokol bukanlah satu-satunya peristiwa dalam kewujudan Golovinski. Beliau tidak terfikir peranannya dalam kegiatan tersebut akan diketahu. Maka kita membaca dalam cacatan seorang kawan ibunya, puteri Catherine Radziwill, yang lari ke Amerika Syarikat. Disana dalam tahun 20an dia mengatakan Golovinski sebagai pengarang Protokol dalam satu jurnal Yahudi, jelas Mikhail Lépekhine. Tetapi dia tidak mempunyai bukti dan saksinya melakukan banyak kesalahan." Perkara yang sama berlaku dalam pengadilan di Berne dalam tahun 1934 dimana Persekutuan Masyarakat Yahudi Swiss mahu membuktikan kepalsuan Protokol yang ketika itu diedarkan oleh Nazi Switzerland. "Nama Golovinski disebut bersama Serge Svatikov oleh wartawan yang menyiasat Vladimir Bourtsev, dua saksi yang disebut oleh plaintif" tambah Pierre-André Taguieff.
Gambar: Buku Serges Nilus Yang Besar dalam Yang Kecil edisi tahun 1912.

Konspirasi Zionis-satu pendedahan 11


Propaganda lawan-révolusi yang disasarkan kepada elitit politik Perancis merupakan kegiatan utama Ratchkovski yang mencipta Liga Perancis-Russia di Paris. Hubungan antara kedua negara merupakan matlamat Persaudaraan Suci yang ahli terdiri dari golongan mazhab Ortodoks yang merupakan reaksioner ekstrim yang mahu meyakinkan Tzar tentang wujudnya komplot judéo-maçonnique (gerakan rahsia Yahudi) yang berselindung disebalik gerakan liberal dan pembaharuan. Tatkala itu Nicolas II kurang terpengaruh dengan tema tersebut berbanding dengan Tzar sebelumnya. Beliau kelihatan lebih memberi perhatian kepada kritikan dari Barat terhadap dasar diskriminasi Russia terhadap orang Yahudi. Makanya Ratchkovski mempunyai idea untuk mencari helah untuk meyakinkan Tzar tentang wujudnya konspirasi Yahudi. Di bawah pengaruh Ivan Goremykine, mantan Menteri Dalam Negeri yang disingkirkan, jalan akan dibuka untuk menyingkir pengeran Sergueï Witte, pemimpin golongan permodenan dalam kerajaan. Dia menyaksikan penghasilkan "bukti" bahawa permodenan industri dan dasar kewangan Russia adalah manifestasi rancangan Yahudi untuk menakluk dunia.
Gambar: Edisi Protokol bahasa Russia tahun 1992 menggunakan gambar Baphomet yang dikatakan simbol atau patong sembahan satu ajaran sesat Kristian.

Konspirasi Zionis-satu pendedahan 10


Dalam tahun 1890 Mathieu Golovinski dicalon oleh seorang pegawai di Saint Petersburg untuk bertugas di bawah Constantin Pobiedonostsev, ketua pendakwa gereja, dan salah seorang yang memberikan inspirasi kepada Alexandre III. Pembesar gereja Orthodoks itu adalah seorang Kristian yang militan yang melaksanakan program pengembangan agama Kristian dikalangan masyarakat pagan di Volga, Tchauvaches, dan bersama dengan paman Mathieu Golovinski dan Ilya Oulianov, bapa kepada Lénin. Mikhail Lepekhine menjelaskan: "Constantin Pobiedonostsev dirundung ketakutan jentera kerajaan akan dikuasai oleh Yahudi yang pada pernilaiannya mausia 'pealing bijak dan berbakat'". Melalui perantaraannya Mathieu Golovinski bekerja di Jabatan Akhbar, ibu pejabat yang bertanggungjawab mempengaruhi media supaya menyerahkan kepada orang atas mereka rencana-rencana yang telah siap untuk diterbitkan , mempastikan ejen-ejennya, iaitu informer and wartawan separuh masa, dibayar dan menapis dari dalam kandungan media dan memantau kecenderungan media. Ketua Jabatan Akhbar, Michel Soloviev, adalah seorang yang fanatik anti Yahudi, menjadikan Golovinski pengarang keduanya. "Golovinski menulis seperti ikan berenang di dalam air. Dia berbakat dan melaksanakan fungsi amatur tersebut dengan mudah selama lima tahun,"jelas Mikhail Lépekhine yang telah membaca sebilangan penerbitan dizaman itu.

Tetapi suana selesa untuk Mathieu Golovinski ini berhenti mengejut: Soloviev mati dan Pobiedonostsev tidak mempunyai pengaruh kepada Tzar baru, Nicolas II, yang kelihatan mahukan gaya pentadbiran yang baru. Dalang-dalang dibelakang tabir berubah dan peranan Golovinski sebagai " mouchard" iaitu sebagai informer didedahkan oleh Maxime Gorki. Dia lari ke Paris, kota yang dia lawatinya dari masa ke masa, dan menemui "kerja" yang sama pada bekas anggota Persaudaraan Suci, Pierre Ratchkovski, yang mengarah khidmat polis rahsia politik Russia di Perancis. "Golovinski khususnya dipertanggungjawabkan untuk mempengaruhi wartawan-wartawan Perancis dalam laporan mereka mengenai politik Tzar. Dia juga menulis rencana-rencana dalam akhbar harian besar di Paris dengan menggunakan nama wartawan-wartawan Perancis" kata Mikhail Lépekhine. Dia selalu aktif dan melengkapkan kegiatan itu dengan menerbitkan dalam tahun 1906, di bawah éditions Garnier, sebuah kamus Inggeris Russia dengan memplagiat dari satu edisi Russia. Dia belajar perubatan selama tiga tahun dan menikmati kehidupan selesa di Paris dengan kiriman wang berterusan dari ibunya. Kehidupan hyperaktif yang palsu ini berjalan dibalik tabir ketenangan di kawasan perumahan bandar Bourg-la-Reine sehingga 1910.

Gambar: Pierre Ratchovski (kanan) orang yang mengarahkan kegiatan polis politik Tzar di Pasir dan bertanggungjawab mengarahkan pemalsuan Protokol.

Konspirasi Zionis-satu pendedahan 9


Rahsia Golovinski terpelihara sehinggalah runtuhnya komunisme dan arkib-arkib dibuka dalam tahun 1992. Justeru kerana golongan Bolshevik 1917 merupakan "rakan seperjalanan" dalam menghebahkan dongeng penaklukan Yahudi maka pihak Soviét tidak berminat untuk mendedahkan fakta kecil penipuan sejarah tersebut. Hakikat penipuan tersebut tidak menyenangkan hingga hari ini sehinggalah penemuan Mikhail Lépekhine. Ia juga didedahkan Ogos lalu oleh Victor Loupan dalam majalah Le Figaro tetapi tidak menarik perhatian media perdana.
Dengan menggunakan maklumat terperinci kembara pengarang Protokol, Mikhail Lépekhine, setelah membuat kajian selama lima tahun, hari ini boleh boleh memberikan gambaran penuh terhadap persekitaran dan motif pembikinan dokumen palsu tersebut. Mathieu Golovinski, pengarang dokumen palsu tersebut, di lahirkan pada 6 Mach 1865 di Ivachevka, dalam wilayah Simbirsk (Russia). Beliau adalah dari keturunan bangsawan, iaitu dari pengiran Henri de Mons yang mengambil bahagian dalam Perang Salib. Kehidupan keluarga bangsawan itu bergelora.
Abang kepada datuk Mathieu Golovinski dibuang daerah ke Siberia selama 20 tahun kerana terlibat dalam komplot anti raja 'Bulan Disember'; dan Basil, bapanya, akrab dengan Dostoïevski, dihukum mati tetapi terselamat bersama penulis tersebut selepas hukuman tersebut ditarik balik", cerita Mikhail Lépekhine. Basil dibebaskan setelah menjadi askar beberapa tahun dalam perang di Caucasus, dan meninggal sebab tekanan jiwa tahun 1875. Mathieu Golovinski yang masih kecil ditinggalkan dalam jagaan ibunya dan seorang pengasuh Perancis yang fasih dalam bahasa Perancis. Anak itu membesar tanpa mengendahkan pelajaran dan pakaiannya, dan juga tanpa mengendahkan persoalan moral. Mathieu Golovinski kelihatannya suka kepada intrik. Sebagai anak muda yang bercita-cita besar dia menjalin hubungan dengan pengeran Vorontsov-Dahkov, orang rapat dengan Tzar dan seorang menteri dalam istana. Menteri itu amat percaya dengan bahaya konspirasi maka selepas Alexandre II dibunuh beliau menubuhkan Persaudaraan Suci, satu organisasi rahsia untuk melawan keganasan dengan keganasan dan manipulasi. Salah satu fungsi Persaudaraan Suci tersebut adalah melakukan pemalsuan dan mencipta dokument palsu di dalam penerbitan golongan revolusioner.
Gambar: Edisi arab Protokol tahun 2003 dengan tajuk Burutuqulat Hukama Sahyuun wa usuluha al-Tauratiyyah wa al-Talmudiyyah (Protokol Hukama Zion dan sumbernya dari Taurat dan Talmud) yang diselenggarakan oleh Ahmad H al-Saqqa, seorang professor perbandingan agama di universiti al-Azhar.

Friday, June 16, 2006

Konspirasi Zionis-satu pendedahan 8


Dalam arkib Français Henri Bint, ejen perisikan Russia di Paris selama tiga puluh tujuh tahun Mikhail Lépekhine menemui bukti bahawa Mathieu Golovinski adalah orang misteri yang menjadi pengarang kepada dokumen palsu tersebut. Dalam tahun 1917 Serge Svatikov sebagai wakil kerajaan baru Russia di bawah pimpinan Kerenski. Dia ditugaskan untuk memansuhkan polis rahsia Tzar. Henri Bint, yang melakukan "debriefing" dan dan kadang-kadang "turning-over" menjelaskan bahawa Mathieu Golovinski adalah pengarang Protokol dan dia (Bint) diberi tanggungjawab untuk membuat pembayaran kepada pemalsu tersebut. Duta
Tzar terakhir, Basile Maklakov, menghadiahkan arkib kedutaan kepada yayasan Hoover dari Amerika. Serge Svatikov membeli dari Henri Bint arkib peribadinya. Apabila rejim baru Bolshevik berkuasa (setelah menewaskan Kerenski) Svatikov memindahkan arkib Bint ke "Arkib Luar Negeri Russia", satu arkib milik persendirian di Prague. Dalam tahun 1946 Soviét mengambil alih arkib tersebut dan menggabungkannya di bawah Arkib Negara Persekutuan Russia di Moscow.
Gambar: Edisi bahasa Poland Protokol yang diterbitkan tahun 1943 tatkala Poland dibawah taklukan Nazi.

Wednesday, June 14, 2006

Konspirasi Zionis-satu pendedahan 7


Protokol diperkenalkan kepada khalayak massa oleh harian Times di London pada 8 Mei 1920 melalui rencana pengarang bertajuk "Bahaya Yahudi, satu risalah membimbangkan. Satu siasatan diperlukan" menyebut "buku kecil" itu seperti boleh dipercayai. Setelah agak lama Times menyuluh kembali isu tersebut dalam bulan Ogos 1921, dengan tajuk "Berakhirnya Protokol," menerbit bukti bahawa ianya adalah palsu. Wakil harian Britain itu di Istanbul telah dihubungi oleh pelarian Russia "putih" di Turki, yang kelihatan mempunyai maklumat, dan mendedahkan bahawa teks Protokol tersebut adalah disadur dari risalah anti Napoleon III dalam bahasa Perancis. Kepalsuan itu dapat dibuktikan segera: sebahagian besar Protokol adalah dicedok dari risalah bertajuk Dialog dalam Neraka antara Machiavelli dan Montesquieu, yang diterbitkan di Brussel pada dalam tahun 1864. Risalah itu dikarang oleh Maurice Joly, seorang peguam anti-Bonarparte, untuk menunjukkan bahawa maharaja itu dan konco-konconya berkomplot untuk membolot semua kuasa-kuasa dalam masyarakat Perancis. Dengan menggunakan satu karya yang telah dilupakan si pemalsu Protokol mengantikan "Perancis" dengan "dunia" dan "Napoléon III" dengan "Yahudi". Penipuan dan kedangkalan tersebut akan terdedah dengan membanding baris demi baris kedua karya tersebut. Kepalsuan terbuka, tetapi misteri asal-usulnya terus kekal. Kita dengan mudah boleh tahu bahawa teks asal ditulis dalam bahasa Perancis dan kita boleh meneka bahawa ianya dibikin di awal abad (ke-20) di Paris, dalam persekitaran polis politik Russia.
Gambar: Edisi 2005 Protokol yang diterbitkan di Syria dengan tajuk Burutuqalat Hukama Sahyuun.

Konspirasi Zionis-satu pendedahan 6


"Dokumen rahsia" itu segera disanggah oleh pengeran Alexander Chayla, seorang aristokrat Perancis yang telah memeluk mazhab Kristian Orthodoks yang kemudiannya akan berada dipihak "tentera putih" melawan Boshevik. Dia menemui penyunting pertama Protokol, Serge Nilus (gambar), seorang padri mistik Russia, yang menunjukkan kepadanya "naskah asal" dokumen tersebut. Dia tidak yakin dokumen itu asli. Pengeran itu menceritakan pertemuannya dengan Nilus yang berpendapat persoalan kesasihan dokumen itu tidak begitu penting. "Katakan kita terima dokumen ini palsu," kata Nilus, " tetapi, apakah Tuhan tidak boleh menggunakan kuasaNya untuk mendedahkan kebejatan yang dirancangkan? Tidakkah Tuhan, kerana iman kita, boleh menukar tulang anjing menjadi barang ajaib? Makanya Dia boleh menyampaikan kebenaran melalui melalui mulut freemason yang pembohong."

Konspirasi Zionis-satu pendedahan 5


Protokol Pendita Zion (gambar adalah edisi pertama) kadang-kadang diberikan tajuk Program Yahudi untuk menakluk dunia, adalah teks yang diketahui dalam dua versi yang hampir sama. Ia di sunting dalam bahasa Russia, pertamanya tidak lengkap dalam tahun 1903, diterbitkan dalam jurnal Znamia, kemudiannya dalam edisi lengkap 1905 dan 1906. Isinya, kononnya, adalah laporan terperinci pertemuan lebih kurang 20 orang anggota pertubuhan sulit freemason Yahudi dimana seorang Pendita Zion berucap kepada pembesar-pembesar bangsa Yahudi untuk mendedahkan kepada mereka satu rancangan untuk menguasi dunia. Matlamatnya adalah untuk menjadi "Penguasa Dunia" setelah hancurnya sistem pemerintahan beraja dan tamadun Kristian. Rancangan licik ini meramalkan penggunaan keganasan, penipuan, perang, revolusi, permodenan industri dan kapitalisme untuk meruntuhkan sistem yang sedia ada, dan di atas puing-puing kehancuran itu akan dibangunkan kuasa Yahudi.

Tuesday, June 13, 2006

Konspirasi Zionis-satu pendedahan 4


Tatkala menyelidik salah seorang dari propagandis tersebut dia (Mikhail Lepekhine) terjun dalam sejarah Protokol yang sebelum ini tidak menjadi obsessi beliau. Propagandis tersebut adalah Mathieu Golovinski, putera seorang aristokrat, peguam yang dilucutkan lesennya kerana menggelapkan wang, pemberita skandal dan intrik dalam persekitran politik Russia di Saint-Pétersburg dan Paris. Semasa meneliti semua dokumen tentang Golovinski, dia bertemu dengan arkib Perancis yang tersimpan di Moskow sejak 80 tahun, menemui kesan peranannya dalam pembikinan pemalsuan terkenal tersebut. Mikhail Lépekhine segera mengesan betapa pentingnya penemuannya dalam kerangka maklumat tentang fakta sejarah mengenai pembikinan Protokol, sehingga seorang penyelidik Peranciss, Pïerre-André Taguieff (gambar), baru-baru ini menerbitkan satu koleksi dokumen lengkap (Les Protocoles des Sages de Sion, par Pierre-André Taguieff. Tome I : Un faux et ses usages dans le siècle (408 p.); tome II : Etudes et documents (816 p.). Berg International, 1992.) Dia menemukan "the missing link" ( le chaînon manquant )— iaitu identiti si pemalsu — pertemuan dua sejarah yang panjang: pada satu pihak sejarah seorang manusia kerdil yang mempunyai cita-cita besar dimana "karya"nya hanyalah satu detik dari kehidupannya yang bergelora dan bermasalah dan satu pihak lagi adalah satu pemalsuan agong dimana Mathieu Golovinski hanya seorang pelaksana dari segi teknik.

Konspirasi Zionis-satu pendedahan 3


Ahli sejarah kesusasteraan Russia, Mikhail Lépekhine (gambar) adalah antara orang yang pahing tahu tokoh-tokoh propagandis (publicistes) dipenghujung abad ke-19. Mereka, kadang kala, adalah penulis, wartawan, penulis esei politik. Tulisan-tulisan mereka muncil dalam bentuk pojok, rencana dan buku tatkala berlakunya kegoncangan politik Russia. Pengkhususan beliau adalah tahun-tahun akhir rejim Alexandre III (1881-1894) dan permulaan rejim Nicolas II (1894-1902), masa agitasi sebelum berlakunya ledakan revolusi. Beliau adalah mantan penjaga arkib Institut Kesusasteraan Russia dan penyelidik sejarah pernerbitan di perpustakaan Akademi Sains Russia yang berpengkalan di Saint-Pétersburg. Mikhail Lépekhine mengkaji kehidupan dan karya semua individu sebagai entri kepada Kamus Biobrafi Russia yang berjumlah 33 jilid.

Monday, June 12, 2006

Konspirasi Zionis-satu pendedahan 2


Ianya merupakan pemalsuan abad ke-20 yang paling agong (la plus célèbre) dan paling trajis (la plus tragique) yang menjadi asas kepada metos antisemetik tentang konspirasi Yahudi sedunia ( complot juif mondial).
Misteri terakhir teks Protokol Pendita Zion telah terdedah. Ahli sejarah Russia, Mikhail Lépekhine, dengan menggali arkib Soviet, telah mengenalpasti identiti pengarangnya. Ia juga membolehkan kita memahami mengapa ia mengambil masa yang begitu panjang untuk mengetahui epilog ini: pemalsu tersebut, Mathieu Golovinski (gambar), melakukan kerja licik tersebut diawal kurun lalu di Paris, bekerja untuk wakil polis politik Tzar di Perancis. Selepas berlakunya revolusi Russia 1917 wakil polis politik tersebut menjadi seorang tokoh Bolshevik yang terkenal. Pendedahan fakta sejarah ini dapat menutup lubang (lakuna) fakta terakhir dalam satu sejarah pemalsuan, satu pemalsuan yang telah menghasilkan malapetaka di Eropah, terus merebak dan bercambah keselsuruh pelusuk dunia.

Sunday, June 11, 2006

Konspirasi Zionis-satu pendedahan 1

L’origine des Protocoles
des sages de Sion


« Les secrets d’une manipulation antisémite »

Éric Conan

L’Express du 16/11/1999

© L’Express 1999 - Reproduction interdite sauf pour usage personnel - No reproduction except for personal use only

Terjemahan: Asal-usul Protokol Pendita Zion -- Rahsia-rahsia satu manipulasi antisematik

Insya Allah saya akan menterjemahkan secara runcitan hasil menyelidikan majalah berita mingguan Perancis L'Express keluaran 16 November 1999 yang mendedahkan pembikinan dokumen palsu yang paling meluas dibaca oleh diseluruh dunia.

Saturday, June 10, 2006

Babad Tiga Negara 3

Bagi pembaca serius edisi terjemahan Moss Roberts amat berguna. Bukan sekadar laras Inggerisnya lebih semasa tetapi beliau memberikan anotasi maka amat membantu pembaca utuk memahami epik San Guo dan segalam permasalahannya. Roberts memberitahu kita bahawa edisi cetak tertua adalah tahun 1522. Dan dalam edisi tersebut terdapat kata pengantar yang bertarikh 1494 yang berbunyi:"Apabila teks ini selesai para sarjana yang berminat (tentang isinya) berlawan-lawan untuk menyalinnya untuk kemudahan pembaca." Edisi 1522 inilah yang mengatakan bahawa pengarangnya adalah Luo Guanzhong, seorang sarjana yang tarikh hidupnya dipertikaikan. Ada pendapat yang mengatakan beliau hidup antara 1330-1400.
Tetapi edisi 1522 telah dilupakan sehinggalah ditemui kembali diawal abad ke-20. Terjemahan Roberts adalah berdasarkan edisi pertengahan tahun-tahun 1660an yang diusahakan oleh Mao Lun dan anaknya Mao Zonggang. Edisi ini mengandungi nota dan syarahan yang digunakan oleh penterjemahan.

Tuesday, June 06, 2006

Matinya Achilles

Mengapakah saya memberikan tajuk buku pertama saya Tumit Achilles ? Ungkapan tersebut pertama kali saya gunakan dalam perenggan penutup satu esei yang cuba meneroka hubungan antara agama dengan kekuasaan.
"Tamadun Islam tidak mengenal Spanish Inquisition. Tetapi sejarah Islam mengenal Mihnah. Aneh, mazhab rasionalis -yang dikatakan liberal- menggunakan kuasa pemerintah untuk menekan golongan tradisionalis. Mazhab rasionalis itu berkubur kerana menggunakan pemerintah yang berkuasa untuk mengalahkan lawannya. Ini juga perlu dipertimbangkan oleh ulamak kerana assosiasi dengan pemerintah mungkin menjadi tumit Achilles."
Ungkapan tumit Achilles mungkin tidak pernah didengar dalam masyarakat kita. Maka saya ceritakan riwayat Yunani purbakala yang menghasilkan ungkapan tersebut.

powered by ODEO

Sunday, June 04, 2006

Kitab sulong


Buku ini saya terbitkan tiga tahun lalu. Saya bacakan catatan penutupnya. Sila klik audio di bawah. Bacaan saya masih terlalu amatur. Masih belajar, maka kalian harap bersabar.

powered by ODEO

Friday, June 02, 2006

Babad Tiga Negara 2

Dalam tahun-tahun menjelang dan selepas Perang Dunia Kedua Dai Li adalah orang yang paling digeruni di Cina. Dia adalah ketua polis rahsia Chiang Kai-shek, pemimpin Guomindang selepas Sun Yat-Sen dan juga pemimpin keseluruhan Republic Cina sebelum ditewaskan oleh Mao Zedong. Apabila Generalissimo Chiang mengarahkan Dai Li menubuhkan polis rahsia tersebut dalam tahun 1932 dia mahukan organisasinya diasaskan pada kebudayaan Cina. Polis rahsia tersebut kemudiannya mengadopsi teknik KGB, Gestapo dan akhirnya FBI. Tetapi polis rahsia tersebut dibina di atas sumpah setiakawan yang mengikut model sumpah taat setia dan persaudaraan antara Liu Bei, Zhang Fei dan Guan Yu dalam San Guo.
Sejak C.H. Brewitt-Taylor menterjemahkan San Guo dengan tajuk The Romance of Three Kingdoms dalam tahun 1925 empayar bahasa Inggeris mengenal epik itu dengan tajuk tersebut. Tetapi untuk generasi sekarang bahasa Inggeris yang digunakan oleh Brewitt-Taylor agak basi. Saya merasakan begitu. Maka saya lebih selesa dengan terjemahan semula yang dilakukan oleh Moss Roberts, professor bahasa Cina di Universiti New York, dengan menggunakan tajuk Three Kingdoms (Edisi pertama 1994 diterbitkan oleh Foreign Languages Press, Beijing, dan University of California Press, Berkely, dalam tiga jilid.)

Thursday, June 01, 2006

Babad Tiga Negara 1

Orang Islam selalu tidak mahu, atau tidak tahu, berlaku adil. Mereka selalu marah orang lain yang tidak mahu memahami Islam. Tetapi adakah mereka cuba memahami orang lain, memahami Buddha, Hindu, Kristian dan lain-lain. Dan memahami orang lain itu dari sumber-sumber sahih agama dan tamaddun tersebut. Jangan cuba memahami agama Kristian atau Yahudi dari sumber-sumber anti Kristian atau Yahudi. Jangan cuba memahami agama Buddha, Hindu atau tamadun Cina dari sumber-sumber yang mencerca agama atau tamadun tersebut. Orang Islam pasti tidak mahu orang lain mengkaji agamanya dari sumber-sumber yang anti Islam.
Kira-kira sepuluh tahun yang lalu saya menonton vcd San Guo Yan Yik dengan sari kata Inggeris. Panjang sekali The Romance of Three Kingdoms ini. Ingat saya sampai 52 vcd. Sekarang sudah ada versi dvd.
Dan saya mengulang tonton vcd ini sampai tujuh atau lapan kali. Hampir saya hafal semua episodnya.
Saya meminati Tao Te Ching dan tulisan-tulisan yang disandarkan kepada Kung Fu Tze seperti Chun Yung, Ta Xue dan lain-lain. Tetapi saya diberitahu dikalangan masyarakat awam Cina dan lain-lain masyarakat yang dipengaruhi oleh kebudayaan Cina seperti Jepun, Korea, Vietnam kisah perpecahan dinasti Han kepada tiga negara, perang sesama mereka dan kemudian penyatuannya semula lebih meresap. Dan watak-watak dalam San Guo menjadi nama-nama legenda. Maka nama-nama seperti Cao Cao, Liu Bei, Zhuge Liang, Guan Kong, Zhang Fie menjadikan nama-nama tersebut dalam kepala saya seperti nama Khulafa' al-Rasyidin.