Monday, October 16, 2006

Firasat Jawa

Menurut takwim Jawa saya dilahirkan di minggu kliwon. Nah takwin Jawa pulak enggak satu, macam-macam dong -- saka, pawukon, mangsa, wetonan dan pasaran. Saya dilahirkan di minggu kliwon mengikut sukatan masa wetonan. Putaran masa mengikut wetonan digunakan untuk menilik nasib dan mencari masa yang sesuai untuk mengadakan majlis-majlis. Dan ia juga boleh digunakan untuk mengenal sifat sesaorang. Maka sifat saya, justeru dilahirkan di minggu kliwon adalah seperti berikut:

Satu lagi tipe pendiam dengan pendirian tegas dan kemauan keras. Anda sangat pandai dalam membuat orang selalu menduga-duga perasaan anda yang sebenarnya. Anda sebetulnya cukup sensitif, tetapi jangan berharap orang lain akan mempercayainya pada saat mendengar anda beradu pendapat. Anda pandai bersosialisasi, pandai berbicara, dan memiliki bakat politik yang besar. Dengan kelebihan seperti ini, tidak mengherankan tipe-tipe seperti anda sering mencapai kedudukan yang tinggi!
Mahu percaya? Apapun saya seronok membacanya. Dan kamupun boleh mengenal wetonan anda, diri kamu atau cewek kamu, dengan memasukkan tarikh lahir. Ilmu ini boleh dipelajari disini di sini. Boleh belajar ilmu Jawa, tapi jangan sampai tidak liberal!

Saturday, October 14, 2006

Seteru nasionalis

Penulis adalah manusia subversif. Kalau ia menulis semata-mata kebenaran tanpa memperdulikan kekuasaan. Tidak semua orang Turki merayakan Orhan Pamuk yang meraih Hadiah Nobel kesusasteraan tahun ini. Golongan nasionalis Turki melihat beliau sebagai musuh bangsanya. Dalam Perang Dunia Pertama Turki melakukan jenayah kemanusiaan, genocide terhada bangsa Armenia dan Kurdi. Sastrawan tersebut pernah diseret ke mahkamah kerana menuntut kerajaannya mengakui jenayah tersebut.

Friday, October 13, 2006

Nobel untuk alumnus IWP


Alumni International Writing Program (IWP) Iowa di seluruh pelusuk dunia dengan berita Orhan Pamuk memenangi Hadiah Nobel Kesusasteraan. Ketika saya mengikuti program itu dua tahun lalu pengarahnya Christopher Merrill berkata alumni IWP telah memenangi pelbagai hadiah penulisan kecuali Hadiah Nobel. Nah sekarang sudah ada. Meskipun Orhan datang ke Iowa saban tahun untuk menulis tetapi dia tidak datang di musim luruh ketika saya di sana. Tetapi saya bertemu novelis Mo Yan yang membacakan cebisan novel terbaharunya Big Breasts and Wide Hips dan Bei Dao datang untuk membaca puisinya. Kedua-dua penulis dari tanah besar Cina ini juga sudah disebut sebagai calon-calon Nobel.

Wednesday, October 11, 2006

Kebahagiaan di dunia


Apakah tidak ada kebahagiaan di dunia ini? Pasti ada. Buktinya adalah La Salul Cel Negru, sebuah lagu Romania yang dinyanyikan oleh Dona Dumitru Siminica.

Wednesday, October 04, 2006

Syariat dewata lawan hukum negara 1


Oedipus sudah dibuang negeri, hukuman yang beliau jatuhkan ke atas dirinya sendiri. Dia disumpah dewata bukan kerana kebejatan yang sengaja dilakukan tetapi kerana keyakinan kepada kemampuan dirinya, usaha manusia boleh melawan takdir. Kata Ibn Ata'illah dalam Hikam "kekuatan himmah tidak boleh menewaskan takdir." Oedipus mendengar ramalan dia akan membunuh bapanya dan mengahwini ibunya. Dia begitu gerun mendengar ramalan itu dan terus tidak pulang ke rumahnya dua orang tuanya. Tetapi tindakan yang beliau sangka sebagai langkah untuk mengelakkan ramalan tersebut dari berlaku sebenarnya adalah tindakan yang bakal memenuhi ramalan tersebut. Pasangan yang selama ini dipanggil Oedipus ibu dan ayah hanyalah keluarga angkat. Dan dia lari meningalkan keluarga angkat untuk menuju ke keluarga sebenar dan melakukan perbuatan yang paling keji. Dan benih kekejian bersama isterinya, yang juga ibunya, melahirkan anak-anak yang juga adik-adiknya. Apabila hijab takdir terbuka sang ibu membunuh diri dan Oedipus membutakan matanya. Dan tirai pentas Oedipus Tiranus ditutup dengan Raja Oedipus turun tahta, meninggalkan negeri, dipimpin oleh anak-anaknya, untuk menjalani hidup dalam buangan. Dan mulut Oedipus mengeluarkan kata-kata filsafat: "Jangan sesiapa merasakan hidupnya bahagia selagi belum bertemu ajal."

Kenapa ulasan Conradagosy dipadamkan?

Saya mengambil keputusan memadam satu ulasan Conradagosy. Dan saya tidak perlu meminta maaf. Beliau telah mengambil sikap yang saya tidak sukai iaitu meremehkan bahawa Melayu yang juga saya kira sebagai satu menifestasi kemalasan intelektual. Saya sudah ingin menegur, tetapi belum sempat, tentang ulasan beliau sebelum ini yang banyak menggunakan pendekatan potong dan tampal sumber-sumber bahasa Inggeris. Ini tidak bermakna saya takut atau tidak menghargai hujah-hujah beliau. Pengikut-pengikut awal khalidjaafar.org dan Aficionado tahu pendirian saya tentang bahasa meskipun saya tidak belum mengatakannya secara jelas. Sekarang sudah sampai masanya. Bahasa Melayu cukup berupaya untuk menjadi saluran perdebatan intelektual. Dan saya amat tidak suka mereka yang merasakan dirinya istimewa boleh berdebat dalam bahasa Inggeris dan meluat pada mereka berasa sukar dan tidak selesa untuk berdebat dalam bahasa Melayu setelah 50 tahun merdeka. Conradagosy boleh menghantar kembali ulasannya. Dan teruskan perdebatan, ingat, dalam bahasa Melayu!