Monday, July 31, 2006

Selok Hom

Lamo bonar den tak jumpo Hom. Lopes kawin, den raso, den samo dio dah longgar. Sodap boto kawin. Den raso kuek jadi ketuo rumah, buek den sibok bonar. Si Hom hawau tu memang tak suko campo oghang. Maso ni dio duduk rumah kito dokek Lorong Bakar, kojo dia membelek buku tuo, isap madat, angan mat Jonin. Lopes tu hati dio suko tengok jonayah. Abih hati porut dio ikut kosan jonanyah. Dia abih solosaikan somua kojo yang mat kampau tak buleh buek. Ado yo maso den dongar corito dio; dio kono pogi Odessa, pasal kes bunoh Trepoff, abih dio bukak cerito adik boradik Atkinson dokek Trincomalee, dapek dio solosaikan kes yang momoningkan kopalo dirajo Bolando.

Sunday, July 30, 2006

Gurindam Illium 6

Begitu kata Akilis, lalu dia duduk, dan Kalkas
lantas bangun. Kalkas putera Testor, paling
pintar menilik makna burung yang terbang.
Dia tahu yang lalu, yang sekarang dan yang
bakal datang, pendita yang memandu
kapal-kapal Argos sampai ke Troy, memandu
dengan tenungan yang dikurniakan Apollo.
Sang pendita, demi nyawa bala tentera,
mula berkata:
"Akilis, kesayangan Zeus.....
tuan mahu tahu kenapa Apollo, Pemanah
yang membunuh dari jauh itu murka? Akan
kuberitahu. Semuanya. Sebelum itu, mari
kita bikin janji, tuan bersumpah akan
melindungiku dengan segenap tenagamu.
Dengan kata dan lenganmu.
Kerana aku, apa yang aku kata, akan bikin sesaoang
marah, aku nampak sekarang, orang kuat yang merajai
orang-orang Argos, orang yang mesti dipatuhi
tentera Akia .... raja yang perkasa, bila memurkai
orang biasa, binasa.
Kalaupun dia mengawal murka hari ini, dia menyimpan
api amarah dalam sekam dadanya, dan satu
hari akan menyala melimpah keluar.
Fikirkan Akilis! Sanggupkah tuan melindungi aku?

Friday, July 21, 2006

Gurindam Illium 5

Sembilan hari hujan panah dewa membunuh.
Dihari kesepuluh Akilis mengumpul semua tentera,
tekadnya mendapat ilham dari Hera, dewi berlegan putih,
yang sayangkan perwira Akia yang jatuh kecundang.
Akilis, raja pecut, bangun berkata: "Putera Atreus,
ku kira kita sudah tewas, perang bertahun-tahun ini
sudah habis. Elokllah kita belayar pulang, kalau kita
terselamat dari maut. Perang dan penyakit bersatu
membantai kita. Sebelum itu, ya, elok kita tanyakan dulu,
soalkan pada ahli firasat yang mahir menafsir mimpi --
ya, mimpi juga datang dari Zeus -- pendita yang boleh
memberitahu kenapa Apollo murka begini, mungkinkah
ada janji yang diingkari, atau kita cuai dalam ibadat.
Bisakah paduka Dewa menerima korban kambing jantan
dan asap harum daging panggang, makanya melepaskan
kita dari bala ini."

Wednesday, July 19, 2006

Gurindam Illium 4

Orang tua itu kecut mengigil. Dia beredar, mematuhi titah,
menapak dalam sepi di gigi air pantai,
bersama deru ombak memukul tebing pasir.
Dan dari jauh, dalam hening pilunya,
sang pendita mengangkat doa, merayu berulang kali,
pada paduka Apollo, putera Leto yang rambutnya
lembut bagai sutera: "Paduka Apollo, dengarlah!
kau dewa pemilik busur perak, Kryse
dan Killa yang kudus dalam tanganmu, berkuasa
atas Tenedos , Smintheus, penghulu segala bala!
Kiranya sembahanku, rumah ibadat yang ku bina,
bersama tulang lembu dan kambing yang sedia
dibakar menyenyukkan hatimu, kabulkan doaku.
Timpakan bala pada tentera Danaan, biar panahmu
membayar air mataku!'
Doa itu terbang ke udara dan Phoebos Apollo mendengarnya.
Hatinya terbakar, dia turun dari puncak Kayangan, bersama
busur dan bekas anak panah berselendang di bahu.
Paduka Dewa bertempek murka, anak-anak panah berlaga
di bahunya. Dia turun bagaikan malam tiba, dan di depan kapal
perang lututnya mencecah pasir. Apollo melepaskan anak
panah dari busur peraknya, dan talinya berdesing ganas.
Kaldai tumbang, kemudiannya anjing jadi sasaran. Apollo
melepaskan anak panah yang menembusi manusia, jasad
bergelimpangan, dan api menyala tanpa henti, siang dan malam
membakar timbunan mayat.

Nota: Tenedos=nama sebuah pulau; Smintheus adalah salah satu gelaran Apollo, maka Apollo Smintheus (dewa tikus); Kryse adalah nama Yunani bagi sebuah pulau emas; Danaan, Argif dan Akia adalah pangilan-pangilan kepada tentera Greek yang menyerang kota Troy. Phoebos adalah salah satu nama Apollo yang bermaksud "bercahaya"

Tuesday, July 18, 2006

"Sentil"


karya Agus Suwage.

Monday, July 17, 2006

Gurindam Illium 3



Bala tentera Akia serentak berteriak setuju:"Hormati sang pendita, dan terimalah tebusannya." Namun hati Agamemnon jengkel, raja itu mengusir pendita dengan herdikan: "Orang tua, Janganku lihat lagi bayang-bayangmu di kapal ini. Sekarang!Jangan merayau-rayau. Esok, jangan datang lagi. Tongkat dan pita dewa tidak akan menyelamatkan kamu. Anak perempuanmu? Aku tidak akan lepaskan. Dia akan bersamaku, menjadi tua di rumahku, di Argos yang jauh dari rumah bapanya. Akan kujadikan abdi, keluar masuk bilek menenun, akan kupaksa tidur di sisiku."Kau berambus sekarang. Jangan menggoda marahku, kalau kau mahu hidup."

Tali gantung


Dari muzeum apartheid di Soweto. Setiap tali gantung mewakili seorang tahanan politik yang dihukum mati semasa rejim apartheid.

Sunday, July 16, 2006

Amok Akilis 2

Sudahku katakan Zidane itu adalah kapten pasukan bola Islam liberal. Maka kekalahannya saya sambut dengan laungan "Takbir!" Kemudian saya diberitahu tandukan gemilangnya juga laksana amok seorang Akilis. Maka saya mula cuba memahami Zidane seperti saya berterusan ingin memahami watak Akilis dalam Gurindam Illium. Kerana Zidane datang dari negeri pascamodern dan mengeksportnya keseluruh dunia (pengimport paling besar adalah Amerika) maka tindakan Akhileus Zidane dilihat dari pelbagai narratif. Terima kasih kepada Rastom yang memberikan pautan.

Saturday, July 15, 2006

Gurindam Illium 2

Dewa mana yang bikin mereka sengit bersengketa?
Apollo, putera Zeus bersama Leto. Dia mengirim bala celaka
pada tentera, kerana marah pada sang raja -- maka manusia
diragut maut selepas Agamemnon menolak rayuan
pendita Apollo. Kraises mendatangi kapal perang Akia
mahu menebus anak perempuannya, membawa hadiah
tak ternilai, dan menjulang tinggi tongkat emas
berikatkan pita dewa Pemanah dari jauh.
Si bapa merayu pada tentera Akia, merafak sembah
pada kedua jeneral, putera Atreus: "Agamemnon, Menelaus dan
orang Argos yang berhati waja! Muga Dewata di Kayangan
memberi kalian kota Priam untuk ditakluki, kemudian tuan-tuan
selamat pulang. Cuma, kembalikan puteri buah hatiku,
nah, terimalah hadiah dan tebusan ini. Muliakan Apollo,
putera Zeus, dewa yang memanah dari jauh!"

Friday, July 14, 2006

Amok Akilis


Μηνιν αεδε, θεα (Menin aeide, thea,) begitulah Homer (sebutan Yunaninya Omeros) memulakan puisi epiknya yang bernama Ιλιαδοζ (Iliados). Dalam bahasa Inggeris dikenali sebagai the Illiad, dan dalam bahasa tersebutlah saya mula menikmati epik itu. Iliados bermaksud tentang Ilion. Saya menggunakan sebutan Inggeris iaitu Illium. Menin bermaksud amarah, berang, tetapi saya menterjemahkannya sebagai "amok," iaitu berang yang membawa hilang pertimbangan. Inilah yang berlaku kepada Akilis, seorang perwira yang dihormati dan disanjungi. Dan saya diingatkan oleh Christopher Merril bahawa kelakuan wira bola Zidane ketika menanduk dada Materezzi adalah laksana amok Akilis. Seperti yang diulaskan kata-kata menghina Materezzi adalah salah. Tetapi Zidane tidak boleh hilang pertimbangan. Akilis terasa dihina oleh tindakan Agamemnon, ketua seluruh angkatan tentera Akia (Greek). Aeide bermaksud nyanyikanlah, thea adalah dewi. Maka Iliados adalah syair, lagu, dendang, nyanyian tentang Ilion. Saya memilih "gurindam" dan Ilion, untuk memadankan dengan "gurindam" saya menggunakan sebutan Inggeris "Illium" -- Gurindam Illium.
Paduka Dewi, nyanyikanlah: kisah amok Akilis putera Peleus... saya mengubah ejaan Achilles kepada Akilis untuk mengelakkan salah sebutan. Ada kawan-kawan yang menyebutnya dengan Acyillis. Maka saya eja mengikut sebutan Melayu. Tetapi Akilis dalam bahasa Yunani adalah Akhilleus. Bahkan dalam beberapa terjemahan Inggeris (Fitzgerald dan Lattimore) Akilis dieja dengan Akhilleus. Tetapi terjemahan Robert Fagles, bagi saya yang terbaik, mengekalkan Achilles. Saya lebih suka dengan sebutan Inggeris maka saya kekalkan Achilles dengan memelayukan ejaannya.

Thursday, July 13, 2006

Selamat datang duka

Majabin Mohamed, 13, disamping suaminya Mohamad Fazal, 45, sejak enam bulan lalu. Perempuan yang memegang bayi adalah isteri pertamanya. Remaja jelita ini dikahwinkan sebagai tebusan kepada hutang perjudian.

Aduh, malangnya!


Percayakah kita perempuan cantik ini, Ghulan Haidar, hanya berumur 11 tahun. Dia bercita-cita menjadi guru. Di diberhentikan oleh keluarga dan dipaksa kawin dengan lelaki disebelahnya, Faiz Mohamad yang berumur 40 tahun. Kenapakah perempuan secantik ini tidak dilahirkan di Kuala Lumpur?

Wednesday, July 12, 2006

Gurindam Illium 1

Menin aide, Thea, Peleiado Akhileos
oulomenen, he muri Akhios alge etheke,
pollas d' ipthimous psukas Aidi proiapsen
heroon, autous de eloria teukhe kunessin
oionoisi te pasi, Dios de eteleieto boule,
esse ou de ta prota diasteten erisante
Atreides te anaz androon kai dios Akhilleos.

Paduka Dewi, nyanyikanlah: kisah amok
Akilis putera Peleus, dan bala pedih yang
menimpa tentera Akia, ribuan nyawa,
jiwa-sukma wira perkasa, terhumban ke
neraka, dan jasad mereka jadi santapan
anjing dan gagak -- maka terkabullah
takdir Zeus. Mulakan, paduka Dewi, pada kala
pecah sengketa antara putera Atreus,
pengeran semua manusia, dengan
Akilis yang gemilang bagai dewa.

Friday, June 23, 2006

Ulang baca


Saya selalu ingin lari dari Timur Tengah. Kenapa semua perhatian kita perlu ke rantau tersebut. Sebagai umat Islam mengapakan Islam perlu mengikut tafsiran pengalaman Timur Tengah? Jumlah umat di Asia Tenggara adalah lebih besar. Apakah yang disumbangkan oleh umat Islam Arab di zaman moden? Selain dari Mohammad Abduh ianya hanya kisah fanatisme, kesempitan, keterbelakangan, bila berperang kalah dah bila berunding ditipu.
Tetapi rantau itu terlalu menarik perhatian kerana terdapat jamak wacana dan pelbagai tafsiran and penafsiran semula. Isu Palestin sendiri mempunyai pelbagai tafsiran. Saya telah membaca beberapa buku dari perspektif Israel. Membaca memoir Yitzak Rabin, dan telah mengumpul memoir Dayan, Gola Meir, Shimon Peres dan semuanya ditunggu untuk dibaca. Sedang membaca karya Avi Shlaim, ahli sejarah revisionist Israeal. Maka saya kembali kepada Edward Said yang semasa hayatnya sarja Palestin yang paling terkenal untuk mengimbangi perspektif.

Monday, June 19, 2006

Realisme Bani Hashim


Ini antara buku-buku yang saya beli di Amman baru-baru ini. Suatu ketika dahulu saya melihat Raja Hussein dari kaca mata nasional Arab, beliau sebagai tali barut Barat. Sejak beberapa tahun yang lalu pandangan saya mulai berubah dan saya mulai mempunyai pandangan yang positif terhadap beliau. Dia mewarisi politik datuknya Raja Abdullah, raja pertama Jordan. Raja Abdullah adalah putera kepada Sharif Hussein yang memimpin pemberontakan terhadap Turki (ketika itu Daulah Uthmaniah), pemberontakan yang dikelani dalam sejarah sebagah The Great Arab Revolt. Hasil dari pemberontakan itu Daulah Uthmaniah hancur dan Timur Tengah dibahagi-bahagikan kepada Inggeris dan Perancis, kuasa-kuasa Barat yang memenangi Perang Dunia Pertama. Tetapi yang mencetuskan idea pemberontakan terhadap Turki adalah Raja Abdullah, datuk kepada Raja Hussein. Mereka adalah suku Awn dari Bani Hashim. Dalam percaturan politik Timur Tengah khususnya dalam menghadapi kuasa Zionis dan kemudiannya negara Israel Raja Abdullah dan cucunya Raja Hussein mempunyai sikap pragmatis berbanding dengan sikap tidak realistik kuasa-kuasa Arab lain termasuk pemimpin-pemimpin Palestin. Akan saya tulis lagi.

Sunday, June 18, 2006

Konspirasi Zionis-satu pendedahan 15 (akhir)


Selepas Perang Dunia Kedua berakhir Protokol yang diharam dibeberapa buah negara Eropah mendapat nafas baru berikutan dengan penubuhan negara Israel. Edisi pertama dalam bahasa Arab terbit di Kaherah dalam tahun1951. Berikutan itu beberapa edisi lain dalam semua bahasa, termasuk Perancis, dibanyak negara Islam. Protokol digunakan untuk mengutuk "konspirasi Zionis". "Menurut penggunaansemula ini, sekiranya Arab yang berani dan bangga boleh ditundukkan oleh Yahudi yang selekeh dan penipu, itulah bukti wujudnya komplot antarabangsa yang disusun secara rahsia oleh golongan Zionis," terang Pierre-André Taguieff. "Protokol merupakan satu model reductionis visi anti Yahudi sedunia, satu visi moderniti dalam bentuk penaklukan sedunia. Rujukan terbuka terhdap Protokol terdapat hari ini, misalnya, dalam teks dan wacana Fron Keselamatan Islam (FIS) di Aljeria dan Hamas di Palestin", tambah penyelidik itu yang telah menyusun bibliografi edisi-edisi terbaharu dokumen palsu yang tidak mahu lenyap itu.

Bibliografi ini terus bertambah panjang dan tidak terbatas di negeri-negeri Arab. Teks ini diterbitkan semula di negera-negara bekas Komunis -ianya bebas dijual di Moscow- dan baru-baru ini dicetak dengan pengedaran meluas di India, Jepun dan Amerika Latin. Ianya tidak dijual dengan sembunyi-sembunyi seperti halnya di Eropah, sebaliknya di Buenos Aires dokumen itu dijual di kiosk-kiosk. Di negara-negara ini hayat teks ini tidak terjejas dengan tamatnya Perang Dunia Kedua, menunjukkan bahawa hasil plagiat itu tidak menghalangnya dari digunakan sebagai senjata melawan "Yahudi-Bolshevik." Ianya seperti kekuatan "Nostradamus antisémitik" yang kebal dari segala serangan rasional. Pierre-André Taguieff melihat di situ sebagai pengucapan paling berkesan "metos politik moden" tentang "penaklukan Yahudi": "Dari segi strukturnya — pendedahan rahsia Yahudi melalui satu karya rahsia yang bersandarkan — teks Protokol memenuhi keinginan penjelasan, memberikan makna kepada gerak Sejarah yang tidak dapat difahami. Ian memungkinkan gerak Sejarah difahami dengan menamakan satu musuh yang unik. Ia memberikan legitimasi kepada langkah pertahanan, segala tindakan terhadap musuh mutlak dan jahat, musuh yang menyamar dibelakang pelbagai topeng: demokrasi, liberalisme, komunisme, kapitalisme, republik dll. Kejayaan dan umur Protokol yang panjang adalah menganehkan. Ianya hanya satu dokumen yang dicipta khusus untuk intrik politik dalam istana Russia. Tetapi memandangkan kandungan teks tersebut bersifat umum maka ini memungkinkan ianya disesuaikan untuk semua konteks krisis, dimana makna peristiwa berubah dan tidak dapat dipastikan. Maka kegunaan semulanya yang berterusan."

Gambar: Novel grafik Will Eisner The Plot yang terbit tahun lalu memberikan narratif yang lengkap terhadap proses, motif, individu dan pihak yang terlibat dalam pembikinan Protokol. Karya ini akan menjadi rujukan definitif dan paling mudah dikunyah untuk memahami komplot pembinan dokument tersebut. Ia juga akan menjadi sebilangan novel grafik yang terangkat untuk mendapat perhatian pembaca sirius.

Konspirasi Zionis-satu pendedahan 14


Perang Dua Pertama, revolusi Russia dan kekacauan di Jerman seperti membenarkan ramalan dokumen palsu antisemetik itu: Eropah dan Russia yang terhumban dalam drama sejarah memberikan pengesahan teks tersebut, antaranya satu naskah dokument tersebut dijumpai dalam kamar permaisuri Tzar setelah seluruh keluarge Nicolas II disembelih. Fakta ini bagi golongan "Russia putih" yang antisemetik menjadi saksi kepada jenayah Yahudi-Boshevik. Bukti yang didedahkan oleh harian Time di London bahawa dokumen itu adalah palsu tidak menggugat nilai dan kedudukan Protokol dari dipersembahkankan di Eropah sebagai bukti wujudnya komplot Yahudi antarabangsa disepanjang tahun-tahun 1930an. Dokumen palsu itu dicetak dalam beberapa edisi dan tidak terbatas kepada organisasi antisemetik. Di Perancis, satu syarikat penerbitan terkenal, Grasset, menerbitkannya dalam tahun 1921 dan diulang cetak sehingga 1938. Di Amerika Syarikat, pembikin kereta, Henry Ford, yang percaya kesahihannya mencetak dan mengedarnya.

Propaganda Nazi mengeksploitasi dan mengedarkan Protokol. Dalam tanun 1923, Alfred Rosenberg menghasilkan satu kajian mengenainya, dan dalam Mein Kampf (1925), Adolf Hitler menulis "Protokol Pendita Zion — yang dinafikan sekeras-kerasnya dan dengan secara rasmi oleh orang Yahudi — menunjukkan dengan cara luar biasa wujudnya sekumpulan manusia yang memiliki dedikasi untuk melakukan kebejatan berterusan," dan menambah, di sana terdapat pendedahan jelas "bahawa ramai Yahudi boleh melakukan ini secara tidak mereka sedari." Apabila ditampuk kekuasaan dalam tahun 1933, pegawai Nazi yang bertanggjungjawab tentang propaganda ditugaskan untuk mengedar Protokol dan mempertahankan kesahihannya.
Gambar: Edisi Jerman Protokol dalam tahun 1930an.

Konspirasi Zionis-satu pendedahan 13


Mathieu Golovinski meneruskan hidup liciknya dengan berkhidmat kepada orang-orang berkuasa yang memerlukan bakatnya. Bila pulang ke Russia dia berkerja untuk Ivan Tcheglovitov, Menteri Keadilan, kemudian berkhidmat untuk Alexandre Protopopov yang kemudian menjadi Menteri Dalam Negeri dalam tahun 1916. Dia juga menerbitkan satu karya propaganda dalam tahun 1914, Buku Hitam Keganasan Jerman dengan menggunakan nama "Dr Golovinski". Dia selepas itu memperkenalkan dirinya sebagai doktor perubatan meskipun tidak memiliki sebarang diploma hasil dari pengajiannya di Paris.

Bagi seorang seperti Golovinski yang mahir berenang dalam laut bergelora jatuhnya kerajaan Tzar tidak melemahkan semangatnya. Dan dalam tahun 1917... kita menemukan beliau sebagai wakil Soviet dari Petrograd (Saint-Pétersburg) : Dr Golovinski diraikan sebagai seorang revolusioner, sebagai orang pertama dikalangan sebilangan kecil doktor Russia yang mendukung rampasan kuasa Bolshevik! Dengan menggunakan gelaran médecin rouge, (doktor merah)bintangnya menyerlah sebagai anggota Kommissar Rakyat tentang Kesihatan dan Kolej Ketenteraan-Kesihatan, iaitu sebagai tokoh kesihatan yang berpengaruh dalam rejim baru. Dia terlibat melancarkan generasi pengasas, iaitu ahli kepada organisasi untuk menjalankan indoktrinasi kepada golongan muda. Dia menjadi penasihat kepada Trotski dalam maklumat ketenteraan dan dalam tahun 1918 mengasaskan, dan menjadi pengarah, Institut Latihan Jasmani yang menjadi tapak semaian kepada juara-juara Soviét. Dia menjadi terkenal, tetapi tidak lama menikmati kuasa yang diperolehinya. Dia mati dalam tahun 1920, saat dimana Protokol mula dikenali diseluruh dunia melalui terjemahan dalam bahasa-bahasa Inggeris, Perancis dan Jerman.
Gambar: Edisi Inggeris Protokol, tahun 1978.

Saturday, June 17, 2006

Konspirasi Zionis-satu pendedahan 12


Sasaran penciptaan dokumen palsu yang diarahkan oleh Ratchkovski bagi Golovinski melakukannya adalah seorang pembaca tunggal: Tzar. Bahkan Ratchkovski kelihatan merangka satu helah. Dia mengetahui Serge Nilus, seorang mistik, akan menjadi "confessor" (padri yang mendengar pengakuan dosa sesaorang) baru kepada Tzar, maka manuskrip palsu antisemetik itu akan disampaikan kepada Nicolas II melalui perantaraan sulit tersebut. Menurut Mikhail Lépekhine, Golovinski menulis Protokol di Paris dipenghujung 1900 atau dalam 1901. Dia menggunakan risalah anti Napoléon III yang ditulis oleh Maurice Joly. Malangnya strategi ini tergendala apabila apabila Serge Nilus tidak dilantik sebagai confessor. Tetapi dia menerbitkan teks tersebut dalam tahun 1905 sebagai lampiran kepada salah satu karyanya, Yang Besar dalam yang Kecil. Dajal adalah satu kemungkinan politik yang bakal berlaku tidak lama lagi. Buku ini menjelaskan bahawa sejak berlakunya Révolusi Perancis satu proses menuju kehancuran telah bermula yang membuka jalan kepada kepunculan sang Dajal.

"Penulisan Protokol bukanlah satu-satunya peristiwa dalam kewujudan Golovinski. Beliau tidak terfikir peranannya dalam kegiatan tersebut akan diketahu. Maka kita membaca dalam cacatan seorang kawan ibunya, puteri Catherine Radziwill, yang lari ke Amerika Syarikat. Disana dalam tahun 20an dia mengatakan Golovinski sebagai pengarang Protokol dalam satu jurnal Yahudi, jelas Mikhail Lépekhine. Tetapi dia tidak mempunyai bukti dan saksinya melakukan banyak kesalahan." Perkara yang sama berlaku dalam pengadilan di Berne dalam tahun 1934 dimana Persekutuan Masyarakat Yahudi Swiss mahu membuktikan kepalsuan Protokol yang ketika itu diedarkan oleh Nazi Switzerland. "Nama Golovinski disebut bersama Serge Svatikov oleh wartawan yang menyiasat Vladimir Bourtsev, dua saksi yang disebut oleh plaintif" tambah Pierre-André Taguieff.
Gambar: Buku Serges Nilus Yang Besar dalam Yang Kecil edisi tahun 1912.

Konspirasi Zionis-satu pendedahan 11


Propaganda lawan-révolusi yang disasarkan kepada elitit politik Perancis merupakan kegiatan utama Ratchkovski yang mencipta Liga Perancis-Russia di Paris. Hubungan antara kedua negara merupakan matlamat Persaudaraan Suci yang ahli terdiri dari golongan mazhab Ortodoks yang merupakan reaksioner ekstrim yang mahu meyakinkan Tzar tentang wujudnya komplot judéo-maçonnique (gerakan rahsia Yahudi) yang berselindung disebalik gerakan liberal dan pembaharuan. Tatkala itu Nicolas II kurang terpengaruh dengan tema tersebut berbanding dengan Tzar sebelumnya. Beliau kelihatan lebih memberi perhatian kepada kritikan dari Barat terhadap dasar diskriminasi Russia terhadap orang Yahudi. Makanya Ratchkovski mempunyai idea untuk mencari helah untuk meyakinkan Tzar tentang wujudnya konspirasi Yahudi. Di bawah pengaruh Ivan Goremykine, mantan Menteri Dalam Negeri yang disingkirkan, jalan akan dibuka untuk menyingkir pengeran Sergueï Witte, pemimpin golongan permodenan dalam kerajaan. Dia menyaksikan penghasilkan "bukti" bahawa permodenan industri dan dasar kewangan Russia adalah manifestasi rancangan Yahudi untuk menakluk dunia.
Gambar: Edisi Protokol bahasa Russia tahun 1992 menggunakan gambar Baphomet yang dikatakan simbol atau patong sembahan satu ajaran sesat Kristian.