Saturday, September 30, 2006
Nahdah liberalisme
Conradagosy memberikan sanggahan bersyahwat terhadap ulasan saya terhadap sanggahan awal beliau. Pertamanya saya tidak melontarkan 'red-herring' untuk mengelakkan dari menjawab apa yang beliau sebutkan sebagai 'fatal flaw' dalam kritikan saya terhadap pandangan Tun Salleh. Saya memang ingin menjawabnya dan akan saya jawab. Namun saya ingin terlebih dahulu mendepani sikap yang agak meluas, sikap tidak mahu menghujahi sesuatu pemikiran secara saksana maka mengambil sikap sambil lewa kononnya pemikiran itu sudah dicincang. Dalam perdebatan agung, agung kerana ianya adalah pertelengkahan antara dua visi pedekatan dan strategi perubahan masyarakat yang masih relevan hingga kini, antara Edmund Burke dengan Thomas Paine sebenarnya kecenderungan saya adalah mirip kepada Burke. Tetapi saya tidak menganggap Paine ditewaskan oleh Burke atau pemikiran beliau menjadi lapuk semata-mata kerana keterlanjuran dan kegilaan yang terjadi dalam Revolusi Perancis. Paine adalah seorang wira pada satu aliran liberal yang radikal, aliran liberal, yang saya kira, lebih banyak berkongsi sikap dan pandangan dengan Continental Enlightenment. Berdasarkan tulisan-tulisan tentang riwayat hidup dan pemikiran beliau, termasuk oleh filasuf A.J. Ayer, Paine jauh lebih popular. Sementara imej Burke adalah sebagai seorang reaksioner dan cemuhan Burke sebagai seorang reaksioner itu menjadi slogan dan retorika bagi mereka yang tidak mahu melihat pemikiran dan hujah beliau dengan lebih mendalam. Meskipun dalam perdebatan agung tersebut saya disebelah Burke, saya akan jelaskan sebabnya, saya mengutip tulisan Paine tentang pemerintahan atau kerajaan, dalam keadaan terbaik, sebagai 'necessary evil'. Saya amat menyetujui pandangan tersebut dan Paine mengungkapkannya dengan ayat-ayat yang amat persuasif. Namun saya bersama dengan Burke kerana konsepsinya tentang keteraturan sosial yang spontan, keteraturan yang tidak rancang oleh akal rasional konstruktivis -- jenis rasionalisme yang meluas dikalangan pemikir-pemikir Revolusi Perancis --, sebaliknya terhasil dari tindakan manusia; keteraturan yang tidak dirancang oleh akal manusia, namun muncul dari tindakan manusia. Keteraturan sosial yang spontan ini merupakan salah satu rukun pemikiran liberal dimana Burke adalah salah seorang perumusnya bersama-sama tokoh-tokoh aliran Scottish Enlightenment. Dan nasab intelektual rukun liberal ini ditemukan dan diungkapkan untuk generasi sekarang oleh F A Hayek (lihat tulisan beliau Dua Jenis Minda dalam jalantelawi.com), ahli ekonomi dan pemikir yang mempunyai peranan terbesar dalam nahdah liberalisme di abad ke-20. Setakat maklumat yang saya baca James Mackintosh tidak murtad dari liberalisme. Beliau hanya murtad dari keyakinan dan keghairahan beliau terhadap Revolusi Perancis. Dan jangan mengidentifikasikan Revolusi Perancis dengan liberalisme sebagaimana Tun Salleh mengidentifikasikan Melayu dengan Islam. Pro dan kontra terhadap Revolusi Perancis mempunyai bab dan dinamika yang tersendiri yang sebahagian besarnya tidak sama dengan sejarah liberalisme. Dari satu perspektif Revolusi Perancis adalah anak kepada Continental Enlightenment, jenis Pencerahan yang mencetuskan jenis akal yang bersifat konstruktuvis, dan jenis akal ini kemudiannya merangka utopia-utopia komunis dan sosialis dengan konsepsi manusia barunya dan apabila menjadi kenyataan utopia-utopia tersebut dipenuhi dengan gulag. Begitu juga saya tidak gusar dengan kemurtadan Wordsworth dan Coleridge, penyair-penyair Romantik ini hanya murtad dari taklid kepada Revolusi Perancis, dan lagi pun dalam sejarah pemikiran mereka tidak dianggap sebagai pemuka liberalisme. Nah Conradagosy, saya belum tergamam. Saya KOOL. Begitupun saya belum habis, saya hentikan setakat ini untuk memberi peluang pembaca menhazam dan membanding hujah-hujah kita sebelum saya menangani apa yang saudara sebut sebagai 'fatal flaw' itu.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
6 comments:
Conradagosy juga mungkin terlepas pandang esei Hayek yang menerangkan hubungan nasab liberalisme-pencerahan Skot.
blokbatu..
setakat nak menyampuk sebaris ayat untuk menunjukkan kealiman anda dalam hal yang dibicarakan, baik tak payah. Saya rasa tahap saudara lebih baik diam dari berbunyi.
Hujah yang diberikan oleh Conradagosy jelas lebih mendalam dan kukuh untuk cuba diremehkan oleh penilaian cetek saudara. Sepatutnya penyampuk-penyampuk seperti saudara berterima kasih atas input ilmu dan huraian yang diberikan oleh saudara Conradagosy yang kita sama-sama boleh mengambil manfaat darinya.
Budaya keilmuan bangsa kita semakin rosak dan akan menuju kebinasaan akibat cenderungan memperlekehkan pengetahuan orang lain dikalangan masyarakat kita tanpa sebarang usaha untuk merakamkan penghargaan dan galakan kepada pencinta ilmu yang ada dikalangan kita. Budaya kesombongan dan ego peribadi terhadap ilmu dan maklumat yang telah dikumpulkan didalam kepala sediri hanya akan merencatkan penyebaran budaya ilmu dikalangan masyarakat kita.
Lebih malang pula muncul segelintir 'pseudo intellectual' yang cuba berlagak pandai tetapi sebenarnya pandir. Mereka ini hanya arif menyorok dan bertenggek dibelakang nama-nama besar dan judul buku yang hebat-hebat walaupun penguasaan sebenar mereka dalam sesuatu subjek ilmu itu masih ditahap lemah dan 'belum lulus' tapi ghairah menunjuk-nunjuk dan menyampuk sepalit pengetahuan yang ada untuk menyanggah dan membangkang sesuatu pernyataan.
Jawapan balas saudara Khalid walaupun ada juga isinya yang boleh diambil manfaat tetap sarat dengan sikap ego dan bongkak. Ini yang paling malang bagi pemikir seperti saudara Khalid yang berasa ilmunya sudah cukup hebat, walaupun sudah disuluh dengan terang dimana silap dan sengetnya kritikan Khalid terhadap Tun Salleh Abbas tapi masih cenderung mensasarkan wacana sebenar yang dikiritik oleh saudara Conradagosy.
Saya ingin merakamkan perhargaan saya kepada saudara Condradagosy yang menyanggah hujah-hujah saudara Khalid dengan cukup baik dan mendalam yang mana isi-isi dari hujah saudara itu saya kira amat baik dan bernilai untuk menambahkan pengetahuan saya. Terima kasih.
"Budaya keilmuan bangsa kita semakin rosak dan akan menuju kebinasaan akibat cenderungan memperlekehkan pengetahuan orang lain dikalangan masyarakat kita tanpa sebarang usaha untuk merakamkan penghargaan dan galakan kepada pencinta ilmu yang ada dikalangan kita".
Sdr Cowboy, cara saudara menolak hak blokbatu menyampuk juga bukan cara yang wajar..biarlah siapa nak berkata apa pun, soal ilmu ini halus, lembut dan tajam..cara pembawaan seseorang meski nampak angkuh, sombong dan selainnya adalah cara masing-masing..jangan lekas tertipu..yang kita nak kutip ialah ilmu.
Teruskan berhujah.
Terima kasih cowboy kampung kerana teguran saudara.
Saya akui budak baru belajar, dan input yang bukan sahaja conradagosy berikan bahkan saudara khalid jaafar juga berjaya membuka minda saya.
Akan tetapi saya ada hak untuk bersetuju dan tidak bersetuju dalam apa-apa hal pun. Itu tegas! Tiada tolak ansur, dan saya sedar untuk akur kepada hujah yang lebih baik, dan hujah yang lebih baik tidak semesti dengan nama yang banyak maupun maklumat yang banyak, tapi apa persoalannya dan apa yang kita ingin selesaikan( mengambil semangat karya intelektual masyarakat membangun).
Dan saya rasa kenyataan saya yang dipandang enteng oleh cowboy kampung tetap valid. Oleh budak serba kekurangan seperti saya, itu merupakan satu pertanyaan kepada saudara conradagosy, dan saya yakin beliau mesti sudah membaca individualism true and false, buah tangan Hayek.
Mengenai samaada liberalisme sudah lapuk atau dicincang ataupun sudah tidak asli, saya rasa debat itu masih diteruskan. Dalam blog Khalidjaafar, saya rasa saudara Khalid merumuskan dengan 'cool' sekali apa itu rukun liberalisme.
Dan saya rasa tertarik dengan perkara 1 hingga 3( yang keempat nanti saya rasa Pak khalid akan memberi tazkirah maknawi ke atasnya),kerana esei Hayek itu membantu saya menangkap erti individualisme yang hak( esensi penting kepada liberalisme ).
Saya ingin mengambil kesempatan untuk bertanya di sini kepada conradagosy mengenai kenyataan Saudara Khalid Jaafar di bawah:
"Lima unsur disebut oleh Tun Salleh sebagai tradisional: Kesultanan, Agama Islam, Bahasa Melayu dan Kedudukan Istimewa Melayu. Secara sekali imbas perkara ini boleh diterima. Tetapi kerana saya telah berumur 50 tahun, dan lebih tua dari Kemerdekaan maka saya ingin meneliti secara kritis pandangan Tun Salleh. Pertama konsep tradisi itu sendiri. Sejauh mana kita perlu menoleh kebelakang dalam sejarah masyarakat untuk dapat kita merumuskan unsur tradisi tersebut. Apakah sehinga abad ke-19 tatkala masyarakat Melayu di mana institusi politik dan sosialnya paling lemah? Apakah imej masyarakat Melayu tradisi itu hanya terbatas kepada abad ke-19 atau masyarakat Melayu yang ditemui oleh Raffles, Francis Light, J W W Birch dan seperti yang ditulis oleh Frank Swettenham yang menggambar orang Melayu sebagai malas, bodoh dan bahlul.?
Apakah pandangan saudara terhadap kenyataan Tun Salleh Abas yang dipetik oleh Sdr. Khalid? Mengenai Lima unsur tradisional dalam perlembagaan, ya sudah tentu Tun Salleh maupun Sdr Conradagosy boleh merumuskan itu merupakan unsur tradisional, tetapi saya rasa itu bukan sebahagian dari perlembagaan
(paling tidak bukan secara literal).
Saya dengan rendah diri boleh saja merumuskan ia adalah hasil negosiasi pihak Raja-raja Melayu, orang Melayu, UMNO dan rakan-rakan dalam Perikatan. Bukan untuk memasukkan unsur tradisional dalam perlembagan kita.
Pertanyaan saya langsung, bukankah ini buktinya Tun Salleh memberikan pandangan mengikut(mungkin) 'sesuka hatinya'?
Saya tidak menolak, memang benar definisi Melayu mengikut Perlembagaan adalah seperti yang kita maklum ada diperuntukkan dalam perkara 160. Tetapi apakah kesannya?
Saya mungkin faham jikalau Tun Salleh berada dalam posisi memberikan hukuman, tetapi jika ia adalah satu rencana, saya rasa itu merupakan buah fikirannya sendiri dan layak untuk dikritik dan juga layak untuk dipertahankan, dari apa sudut dan aliran sekalipun.Dengan itu kita menyuburkan lagi wacana perundangan negara ini.
Dan untuk kawan saya cowboy kampung negara ini akan lebih maju dengan majunya idea dan ia harus bermula dengan pertanyaan dan rasa ingin tahu. Sapere aude!
Terima kasih juga kepada teguran yang diberikan oleh Sdr Conradagosy.
Saya yang ingin menambah ilmu di sini, ingin bertanya, boleh anda berkongsi sedikit sumber yang boleh saya cari untuk mengetahui pandangan filsafat dan politik Coleridge.
Boleh saudara memberi sedikit pandangan yang mengatakan Coleridge tidaklah terlalu terpukau dengan Jacobinism pada awalnya dan tidaklah terjebak dalam dengan Toryisme. Pandangan ini diutarakan selepas meneliti respon beliau terhadap bebrapa peristiwa, sebagai contohnya, Undang2 Anti Hasutan William Pitt 1795 serta risalah beliau yang berjudul On the Constitution of the Church and State( kalau salah tolong betulkan).
Pandangan sdr mengenai Hayek sungguh bermakna pada saya, dan kebetulan saya juga sedang membaca satu artikel yang ada di http://www.cato.org/pub_display.php?pub_id=5101
Artikel itu berjudul Hayek's Terra Incognita of the Mind. Harap anda dapat berkongsi ilmu dengan saya :)
Sekian.
cowboy kampung: saya rasa tempelakan kamu kepada blokbatu serupa juga dengan tindakan kamu memuji Conradagosy.
Jangan kecil hati cowboy, saya setuju dengan pandangan kamu banyak perkara tersebar dan debat ini sesuai dibukukan (dalam bahasa dan teks yang lebih teratur) untuk generasi seperti saya.
conradagosy nampaknya kamu memang hanya suka menang .....
Post a Comment