Ini berlaku lebih dua dekad lalu. Saya kemana-mana akan membawa sebuah buku ditangan. Kerana tidak mahu membuang masa. Bila beratur, di JPJ misalnya, saya boleh membaca, kadang-kadang samping 30 minit. Maka saya tidak merasakan menunggu terlalu lama, maka saya selamat dari menyumpah ketidakcekapan JPJ atau lain-lain perkhidmatan yang memaksa saya beratur. Begitu juga ketika dalam bas. Dan lebih dua dekad yang lalu buku yang saya bawa adalah The Wealth of Nation tulisan Adam Smith. Maka saya terserempak dengan seorang kawan yang lebih tua. Dia ketika itu bekerja di FAMA, dan seorang yang mempunyai ijazah ekonomi. Bila dia melihat buku yang saya bawa dia menegur, dengan keyakinan seorang yang memiliki ijazah ekonomi,: "Tiada siapa yang membaca buku itu sekarang." Dia bernasib baik kerana kebetulan masa itu saya tidak berminat untuk berdebat. Kalau tidak, saya kira dia nahas. Kalau peristiwa itu berlaku sekarang, dan ketika saya dalam mood untuk berdebat saya akan katakan: "Jangan sombong dengan BA ekonomi kamu. Joseph Stigler, seorang pemenang Hadiah Nobel ekonomi, menyebut Wealth of Nation adalah buku ekonomi yang terbaik pernah ditulis. Dan belum ada saingannya hingga kini."
Sikap yakin yang melucukan ini, iaitu yakin berdasarkan maklumat yang sedikit, diulangi oleh Conradagosy dalam mengkritik kritikan saya terhadap pandangan Tun Salleh Abas. Dia berkata "....tetapi jangan lupa, fahaman liberal sendiri sudah lama dicincang dan telah ditalkinkan oleh penganut2 asalnya sendiri bak kata bagi setiap Thomas Paine berbangkitlah sepuloh Edmund Burke." Saya heran dengan mereka-mereka yang begitu yakin membuat kenyataan sombrono tanpa membuat sebarang semakan. Saya kebetulan baru sahaja selesai membaca buku Christopher Hitchin tentang Paine yang bertajuk The Rights of Man: A Biography yang membuktikan keghairahan terhadap Paine terus segar. Pelbagai edisi Rights of Man, Common Sense dalam lain-lain tulisan pemikir tersebut terus diterbitkan, diberikan pengantar baru dan sebagainya. Karya lengkap Paine telah diterbitkan dalam edisi American Library maka meletakkan karya Paine sebagai "American canon." Rights of Man telah diterjemahkan kepelbagai bahasa dunia, dan teman saya Eddin Khoo sedang menyiapkan edisi Melayunya. Debat agong antara Burke dengan Paine masih segar yang punya penyokong masing-masing hingga hari ini. Bukan sahaja kedua-dua aliran berperang, kadang-kadang berkahwin pula dan melahirkan sintesis baharu. Jangan mudah mengatakan liberalisme sudah dicincang. Jadilah intelektual yang jujur. Lihat sahaja pengaruh pemikiran Hayek, Popper, Isaiah Berlin, Ernest Gellner dalam dunia pemikiran hari ini. Dan tulisan-tulisan pemenang Amartya Sen, seorang lagi pemenang Hadiah Nobel ekonomi, John Rawls, Donald Dworkin (dalam bidang perundangan) adalah perumusan semula pemikiran liberal. Liberalisme hidup, segar, kaya dan pemperkayakan, rencam. Siapakah agaknya penganut awal liberalisme yang kononnya mentalkin faham tersebut?
Thursday, September 14, 2006
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment