Wednesday, February 28, 2007

Seks dan Sokrates


"Sofokles, bagaimanakah seks kamu? Masih bolehkah kamu bersetubuh dengan perempuan?" Dialog ini terdapat Buku Satu Republik. Seorang pensyarah falsafah, namanya yang saya ingat hanya McGunn, menceritakan pengalamannya mengajar falsafah. Mahasiswa tidak berminat dengan falsafah kerana "tidak ada cinta dan seks fasafah falsafah." Mahasiswa tersebut tentu belum pernah pernah membaca Plato yang menurut Allan Bloom penulis yang paling erotik. Mereka tidak mendengar kisah cinta Heidegger dengan Hannah Arendt di abad lalu atau Abelard dengan Heloise di kurun ke-12.

Wednesday, January 31, 2007

Pemikir-Politik


Maka saya menemukan hujah paling ampuh mengapa intelektual perlu terjun dalam politik. Saya membaca terjemahan Allan Bloom dengan amat perlahan. Dan saya mulai menikmati Poletia yang lebih dikenal dengan tajuk Republik dan mengerti mengapa ianya sebuah buku abadi. Minggu lalu saya di Kenyir bersama 25 bakal -- 20 Malaysia dan 5 Indonesia -- pemimpin-pemimpin Asia Tenggara. Saya tidak berceramah tetapi mengadakan acara Sokratik dengan mereka. Mengapa intelektual perlu terjun politik?

Friday, January 12, 2007

Tahun berat


Tahun ini saya jangka blog saya akan kurang diperbaharui. Sebab, tahun ini saya akan membaca buku-buku berat. Antaranya adalah Critique of Pure Reason oleh Immanuel Kant. Buku ini mencetuskan revolusi dalam epistemologi dan atara karya paling penting dalam sejarah falsafah moden, bahkan juga dalam sejarah falsafah sejak zaman Yunani. Saya menguja membacanya beberapa kali tetali tidak selesai. Sungguh berat. Seorang yang agak terkenal di Malaysia, tak usah saya sebut namanya, setelah pencen ingin menjadi filasuf. Maka dia membeli buku ini dan membacanya. Beberapa kali dia baca namun tidak faham. Akhirnya tidak marah sekali. Dia mengambil pennya dan menulis sesuatu dalam kurungan di sebelah nama Immanuel Kant. ... Immanuel Kant (c..t!).

Thursday, January 04, 2007

Apakah manusia punya fitrah?


Ini yang mereka debatkan. Chomsky kata ada, buktinya tengok sahaja bahasa tanpa ada "inborn structure" tidak akan ada bahasa. Foucault kata tak ada. Kebenaran itu hakikatnya adalah sejarah (historical).

Dan debatnya di sini: sini

Monday, December 04, 2006

Herbert von Karajan - Beethoven Symphony No. 5

Herbert von Karajan Conducts - Beethoven Symphony No. 5

Tuesday, November 21, 2006

Haram buat mereka yang tak syok sendiri


Saya diperkenalkan pada novel ini oleh seorang penulis dan pakar bahasa dari Karnataka, India, yang saya temui di Iowa. Penulis tersebut gemar kepada novel-novel yang susah dan The Death of Virgil adalah novel sukar kelas pertama. Hermann Broch (1889-1951) pasti seorang penulis yang syok sendiri untuk menulis sebuah novel yang sukar, makanya tidak popular. Saya membuat pengakuan, saya belum membacanya. Otak saya perlu tenaga untuk mengunyahnya, maka saya menangguhkan pembacaan. Broch selalu dibandingkan dengan Robert Musil, seorang lagi novelis sukar, yang menyelami pengalaman kemanusiaan yang digelar sebagai modeniti.

Saya perkenalkan novel ini kerana ia berkaitan dengan kiriman saya yang lalu tentang Vergil dan puisi agongnya Aeneid, kisah pengembaraan perwira Troy untuk membina kota baru setelah kota kelahirannya hangus. Setelah puisi agong itu siap Vergil meninggalkan wasiat agar ianya dibakar. Tetapi maharaja Roma ketika itu, Augustus, mengingkari wasiat tersebut. Maka Aeneid selamat dan sejarah kesusasteraan kemudiannya meletakkan ianya sebagai puisi kedua agong selepas karya Homer.

Der Tod des Vergil, begitu tajuk asalnya dalam bahasa Jerman, mula ditulis oleh Broch tatkala beliau dalam kem tahanan Nazi. Sang penulis berbangsa Yahudi. Novel besar ini mencampurkan antara realiti dan halusinasi, puisi dan prosa, melakunkan semula saat-saat akhir hanyat Virgil. Siapa yang sudah membacanya kongsilah syok sendiri itu dengan kita.

Syok sendiri

Royal King Kong said...
aku rasa engkau ni menulis tahap syok sendiri. tak guna engkau tulis berat2 kalau orang malas nak baca. bukan tiada orang nak baca, mesti ada punya...tapi bila dah habis baca org naik menyampah dengan tulisan engkau.


mukhsen said...
-epik klasik sangat asing bagi saya (mungkin generasi saya secara general), Terima Kasih Pak untuk kongsi.


Apabila sesuatu kisah, buku, wayang, telah diberikan taraf 'epik' maka ia bermakna hebat, skopnyabesar, plotnya bercabang-cabang, ceritanya berantai, karektor yang terlibat begitu ramai, manusia besar, sederhana dan kecil. Filem Lord of the Ring, sebagai filem, boleh dikatakan bersifat epik. Namun buku Tolkein yang menjadi asas filem tersebut tidak dianggap sebagai hasil sastera. Novel Leo Tolstoy yang bertajuk Vojna i mir (Perang dan Damai) pasti satu epik moden, mengesahkan masyarakat kelas atasan Russia dikala zaman damai dan tatkala Napoleon melancarkan penaklukan Eropah dan seterusnya menawan dan menduduki Moscow. Saya membacanya di semester satu atau dua di ITM dan kesannya begitu mendalam sehingga saya memanggil girlfried saya Natasha, gadis yang jadi rebutan dikalangan jejaka Mocow. Tetapi gambaran yang terus segar dalam ingatan saya meskipun saya hanya membacanya sekali dann sudah 30 tahun adalah tatkala Putera Andrei luka dan terbaring di medan perang dan sebelum pengsan melihat awan dan langit biru yang indah dan damai.

Tetapi gelaran epik kepada filem atau novel moden hanyalah sifat yang menyerupai sifat-sifat epik sebenar. Mana satu epik sebenar? India melahirkan dua epik, Mahabharata dan Ramayana. Epik juga bermakna pengaruhnya begitu meluas maka kisah-kisah dalam kedua epik tersebut menyerang sempada India ke Sri Lanka, ke Thailand dan Burma, ke Laos danVietnam, ke Jawa dan ke Serambi Mekah. Di Barat Illiad dan Odessey adalah dua epik yang sesaorang itu tidak boleh dikatakan berpendidikan kalau tidak mengetahuinya. Begitu besar pengaruhnya sehingga cebisan dan nama dan ungkapan dari epik itu menjadi bahasa harian. 'Tumit Akilis' menjadi ungkapan kepada titik kelemahan kapada manusia atau kuasa yang kebal, 'aphrodisiac' atau peransang tenaga batin adalah dari nama Aphrodite, dewi kayangan yang tercantik. Tajuk epik Odessey sudah menjadi kata nama bagi pengembaraan yang payah dan penuh rintangan. Dan epik ketiga dalam tamadun Barat adalah Aeneid. Saya telah menyetuh di sana sini epik Homer dalam buku saya, maka saya ingin memperkenalkan hasil tangan penyair agung Virgil.

Kejahilan yang merata tentang karya-karya agung ini adalah tanda kecacatan sistem pendidikan. Untuk memahami epik iainya tidak lebih susah dari untuk memahami makenik kuantum namun ramai yang boleh memahaminya. Maka kita berterima kasih pada Aqil Fitri kerana memperkenalkannya kepada orang awam dalam enak sembang. Mungkin saya orang yang pertama menulis tentang Virgil dalam bahasa Melayu. Karya picisan yang tak berotak memang sudah bermaharaja lela. Dan citarasa picisan ini pula telah bongkak dan menyombong diri. Dia bukan sahaja tidak malu dengan kejahilannya tetapi menyangka orang lain juga jahil dan setidak-tidaknya mahu orang lain jahil sepertinya.

Katakan saya syok sendiri. Itu bukan satu keaiban, lebih-lebih lagi apabila syok sendiri itu kepada sesuatu yang agong. Apakah yang mendorong Einstein teori relativiti kalau tidak syok sendirinya? Syok sendiri adalah pendorong yang terkuat kepada penemuan dan penciptaan.

Thursday, November 16, 2006

Puisi Perang



Puisi besar adalah tentang cinta, tetapi puisi teragong adalah tentang perang. Homer, penyair teragong Barat, menyanyikan gurindam perang Troy. Dalam Illiad -- yang mulai saya terjemahkan dalam blog ini -- sang penyair menceritakan tahun terakhir kota Troy atau Illium dikepong oleh tentera Greek, kisah Akilis berkelahi dengan Agamemnon, ketua seluruh bala tentera Greek, Akilis mengamuk, merajuk, menangis dengan ibunya Dewi Tetis, dan kemudiannya membunuh pengeran Hektor, ketua pertahanan Troy. Setelah Troy hangus tentera-tentera Greek pulang ke negeri masing-masing. Ramai yang mati dalam perjalanan pulang. Agamemnon selamat sampai ke negerinya. Sesampai ke istanyanya raja itu dibunuh oleh permaisurinya. Akilis, wira Greek, mati dibunuh oleh Paris, adik Hektor dan punca perang kerana melarikan Helen. Mala petaka yang dialami oleh wira-wira Greek yang pulang, khususnya Odysseus, dikisahkan oleh Homer dalam Odyssey. Odysseus membawa anak-anak buahnya pulang, tetapi semuanya mati tenggelam kerana taufan. Dan hanya Odysseus seorang yang selamat pulang, dan pulang sebagai seorang pengemis dan rumahnya dipenuhi oleh pemuda-pemuda negerinya yang ingin mengahwini isterinya Penelope.

Apabila Troy tumbang dan terbakar seorang perwiranya Aeneas, sepupu kepada Hektor, membawa orang-orang Troy yang masih selamat lari. Dan mereka lari untuk membina Troy yang baru. Dan kota itu kemudiannya menjadi ibu kota kepada empayar Barat yang terbesar dan gemilang -- Rom. Virgil adalah penyair teragong Rom dan Aeneid adalah puisi teragong dalam bahasa Latin, lingua franca empayar Rom. Robert Fagles adalah penterjemah Illiad dan Odyssey ke dalam bahasa Inggeris. Terjemahan beliau adalah yang terbaik. Nah sekarang terjemahan Inggeris epik Rom itu memasukki pasaran awal bulan ini.

Empayar Rom adalah empayar militer. Nah, mana ada empayar dalam sejarah dunia yang tidak militer? Empayar Islam dan empayar kafir semuanya militer. Dan Rom, sebagai Troy baru, juga dibangunkan di atas senjata dan darah. Tetapi dalam perang juga manusia bercinta. Atau yang mana dulu, cinta atau perang? Paris bercinta dengan isteri orang, iaitu Helen, dan mereka lari. Maka perang meletus. Virgil tidak boleh mengatasi Homer sebagai penyair. Tetapi dalam kisah percintaan antara Aeneas dengan Dido, Virgil mengatasi Homer. Dan percintaan itu tragis, makanya ia gemilang.